
Lima anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar penalti berjumlah RM120 juta yang dikenakan oleh Pengarah Pengagihan Gas Sarawak dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
Pemohon semakan kehakiman tersebut hadir di hadapan Hakim Dean Wayne Daly pada Rabu bagi pendengaran pertama permohonan.
Syarikat-syarikat terlibat adalah Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd telah dikenakan penalti kerana gagal memohon lesen beroperasi di Sarawak, yang merupakan satu keperluan di bawah Seksyen 7 Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Mengikut Seksyen 21A DGO 2016, penalti maksimum adalah RM20 juta bagi setiap kes. Namun, lima anak syarikat tersebut telah dikeluarkan lapan notis kerana gagal memohon lesen, dengan penalti sebanyak RM15 juta setiap satu dikenakan terhadap mereka.
Pasukan peguam pemohon yang terdiri daripada peguam Khoo Guan Huat dan Alex Ngu Sze Shae berhujah bahawa DGO 2016 tidak terpakai kepada operasi anak-anak syarikat tersebut.
Responden pula diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Sri JC Fong dan Peguam Kanan Negeri Mohd Adzrul Adzlan dari Kamar Peguam Besar Negeri Sarawak.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly hadir mewakili Kamar Peguam Negara Persekutuan.
Hakim Dean Wayne menetapkan tarikh keputusan pada 3 Februari.
Hujah Pihak Petronas

Semasa prosiding, Khoo berhujah bahawa penalti kewangan tersebut adalah ultra vires (melampaui kuasa) DGO 2016, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah melampaui kuasa yang diberikan oleh Perintah Negeri Borneo (Kuasa Perundangan) 1963 dengan mewajibkan lesen untuk rawatan, pemprosesan, pengasingan, dan pengangkutan gas, serta pembinaan dan penyelenggaraan saluran paip gas.
Beliau juga menegaskan bahawa syarikat-syarikat tersebut, sebagai anak syarikat dan cabang operasi Petronas, harus dikawal selia di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), sebuah undang-undang persekutuan, dan bukannya DGO 2016 di peringkat negeri.
Hujah Pihak Kerajaan Sarawak
Ahmad Hanir memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan terhadap pemberian kebenaran permohonan tersebut, manakala JC Fong berhujah anak-anak syarikat itu gagal menunjukkan kes yang mempunyai merit untuk diteruskan dengan semakan kehakiman.
Fong menekankan bahawa anak syarikat adalah entiti undang-undang yang berbeza daripada syarikat induknya.
“Oleh itu, apa yang diberikan oleh PDA74 kepada Petronas, seperti perniagaan pemasaran dan pengedaran petroleum tanpa kebenaran Perdana Menteri di bawah Seksyen 6, tidak terpakai kepada anak-anak syarikat Petronas. Mereka mesti mematuhi undang-undang Negeri mengenai bekalan dan pengagihan gas,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah Perkara 95C(3), kuasa perundangan ke atas “pengagihan gas” yang diberikan kepada DUN meletakkannya dalam Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan negeri mengawal selia aktiviti pengagihan.
“Bukti menunjukkan anak syarikat Petronas terlibat dalam aktiviti ini tanpa lesen. Penalti kewangan dikenakan secara sah mengikut undang-undang dan pemohon tidak mempunyai kes yang kukuh untuk membatalkan penalti tersebut,” tambah Fong.
Fong juga menyatakan bahawa sekiranya kebenaran diberikan, mahkamah tidak seharusnya menangguhkan penguatkuasaan penalti tersebut kerana pemohon tidak menunjukkan sebarang keadaan istimewa.
Beliau menambah jika mahkamah akhirnya memihak kepada anak syarikat, kerajaan boleh memulangkan semula wang yang telah dibayar.
Khoo memohon penangguhan interim penalti sementara menunggu keputusan 3 Februari, namun Hakim Wayne menolak permintaan tersebut.
Lima anak syarikat itu juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan Notis Penalti Kewangan tersebut yang mana setiap satu memerlukan pembayaran RM15 juta kerana beroperasi tanpa lesen di bawah Seksyen 7 DGO 2016.





























