
TQ Wuling memilih kilang Tan Chong Motor (TCMA) dekat Segambut, sebagai lokasi pemasangan tempatan model elektrik kompak milik syarikat itu – Bingo EV.
Pengumuman itu dibuat selepas sebelum TQ Wuling melancarkan kenderaan EV itu.
Keputusan berkenaan menyaksikan Bingo EV menjadi kenderaan elektrik pertama dipasang secara CKD oleh TCMA.
Menurut kenyataan media dikeluarkan, TQ Wuling akan melaksanakan pendekatan pengeluaran secara berperingkat pada fasa awal, dengan keupayaan meningkatkan jumlah pengeluaran selaras dengan permintaan pasaran dan perkembangan segmen EV di Malaysia.
Pendekatan ini dilihat sebagai ‘langkah berhati-hati’ dalam menilai penerimaan pasaran sebelum meningkatkan skala pengeluaran.

Ketua Perniagaan TQ Manufacturing, Wan Wei Sun berkata, permulaan pemasangan tempatan TQ Wuling Bingo EV bukan sekadar pelancaran satu model baru, sebaliknya mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinan syarikat terhadap Malaysia sebagai pasaran dan hab pengeluaran penting.
Beliau turut menegaskan gabungan kepakaran global SAIC-GM-Wuling dalam teknologi EV dengan pengalaman lama Tan Chong dalam bidang pembuatan akan membantu membina kepercayaan melalui kualiti, mengukuhkan ekosistem tempatan dan meletakkan asas pertumbuhan mampan untuk masa hadapan.

TQ Wuling Bingo EV ditawarkan dalam dua varian iaitu Pro pada harga RM67,800 dan Max pada RM72,800.
Sebagai model CKD, Bingo EV menikmati pengecualian cukai sehingga akhir 2027, selain 500 pembeli terawal layak menerima rebat RM5,000 – menjadikan harga masing-masing RM62,800 dan RM67,800.
Pakej pemilikan turut merangkumi jaminan bateri EV selama lapan tahun atau 120,000 km, jaminan motor penggerak selama lapan tahun atau 160,000 km, ansuran bulanan serendah RM625, pengecas rumah 7 kW, pengecas tiga pin, cermin gelap solar serta 17 manfaat insurans termasuk perlindungan EV, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM12,000.
Sebagai perbandingan dengan Proton eMas 5 yang dijual pada julat harga sekitar RM57,000 hingga RM70,000, TQ Wuling Bingo EV menawarkan jarak pemanduan yang ‘sedikit lebih baik’ serta dilengkapi tempat duduk pemandu berkuasa dan cermin sisi lipat berkuasa, ciri yang tidak ditawarkan pada mana-mana varian eMas 5.
Namun Proton eMas 5 ‘membalas’ dengan kelebihan seperti sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), pintu belakang berkuasa, kamera 360 darjah ditawarkan pada varian Premium, ruang simpanan hadapan (frunk), pengecasan DC yang lebih pantas – dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 21 minit bagi semua varian, dilengkapi konfigurasi lima tempat duduk.


























