𝗦𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗶𝗺𝗶𝗴𝗿𝗲𝘀𝗲𝗻, 𝘄𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝘄𝗮𝗿𝗴𝗮 𝗖𝗵𝗶𝗻𝗮 𝗱𝗶𝗿𝗲𝗺𝗮𝗻 𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁 𝗵𝗮𝗿𝗶

327

Seorang wanita warga China direman empat hari untuk siasatan bagi kes mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata reman suspek bermula pada Khamis.

“Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 Kanun Keseksaan (mencederakan penjawat awam) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan wanita China berusia 31 tahun itu bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di KLIA Terminal 1 pada Rabu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen.

Pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan telah merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.

Bagaimanapun, wanita itu tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.

Suspek kemudian memaki hamun pegawai dengan perkataan kesat sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.

Akibat serangan itu, pegawai mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here