Lori tangki meletup ketika kerja kimpalan, pemandu maut

137

Seorang pemandu lori maut manakala pembantu bengkel cedera selepas berlaku letupan ketika kerja kimpalan dilakukan di atas tangki lori di bengkel Kampung Belangkan Kuala Sawah di sini pada Sabtu.

Mangsa yang maut ialah N Jayagobinath, 33, manakala mangsa cedera dikenalpasti Suhardi Labeddu, 40.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 tengah hari sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami di lokasi pada jam 1.36 tengah hari, didapati berlaku letupan melibatkan lori tangki kosong mengandungi sisa bahan kimia jenis Hexane yang sedang menjalani kerja kimpalan di bahagian injap atas.

“Saksi memaklumkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa berada di atas lori tangki tersebut untuk menjalankan kerja-kerja kimpalan sebelum berlaku letupan secara tiba-tiba menyebabkan mereka tercampak hampir tiga meter ke udara dan hampir mengenai bumbung bengkel,” katanya menerusi kenyataan.

Syazwan berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) oleh ambulans manakala pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.

“Pasukan Khas Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Seremban 2 turut dikerahkan ke lokasi bagi melakukan pengesanan bahan kimia berbahaya di kawasan bengkel dan lori tangki tersebut.

“Bacaan yang diperoleh menunjukkan 0.0 LEL, menandakan kawasan berada dalam keadaan selamat,” jelasnya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here