BYD buka Zhengzhou All-terrain Circuit untuk NEV, dari litar lumba hingga bukit pasir!

195

BYD secara rasmi membuka Zhengzhou All-terrain Circuit. Ini merupakan salah satu litar pertama di China yang direka khusus untuk Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Menariknya BYD telah mengesahkan rancangan untuk beberapa litar lain.

Kemudahan di Zhengzhou ini berfungsi sebagai pusat untuk perlumbaan litar, latihan pelumba profesional dan pelbagai pengalaman litar. 

Berbeza daripada reka bentuk litar trek tunggal konvensional, Zhengzhou All-terrain Circuit menyediakan pengalaman tersendiri.

Litar ini merangkumi lintasan air, pendakian bukit pasir dan pemanduan off-road, membolehkan pengunjung meneroka pelbagai senario di satu tempat.

Litar ini merangkumi lapan zon pengalaman berikut:

  1. Bukit Pasir Tertutup (Indoor Sand Dune)
  2. Bulatan Cengkaman Rendah (Low-Friction Ring)
  3. Plat Basah dan Licin (Kick-Plate)
  4. Kolam Air (Wading Pool)
  5. Padok Dinamik (Dynamic Paddock)
  6. Litar Lumba
  7. Taman Off-Road
  8. Kawasan Perkhemahan. 

Ciri Utama dan Teknologi Litar

Bukit Pasir Tertutup Zhengzhou

Bukit Pasir Tertutup di Zhengzhou menampilkan kecerunan menegak 29.6 meter dan cerun 28 darjah dan diperakui sebagai kemudahan pendakian bukit pasir tertinggi dan terbesar untuk ujian kereta.

Dibina dengan 6,200 tan pasir untuk meniru komposisi butiran Gurun Alxa, ia menawarkan pengalaman memandu di bukit pasir sebenar.

Bulatan Cengkaman Rendah

Litar bulat berdiameter 44 meter pertama di China ini terdiri daripada 30,000 bata basalt licin dan dilapisi air setebal 3 milimeter.

Gabungan ini menghasilkan permukaan yang mempunyai daya geseran yang konsisten, serupa dengan permukaan ais dan salji.

Di zon ini, pemandu boleh merasai pengalaman menggelongsor (drifting) yang stabil dengan mudah.

Ini adalah hasil daripada tindak balas kawalan elektronik BYD pada tahap milisaat dan sistem kawalan badan pintar.

Ia direka untuk memberikan keseronokan menggelongsor kepada semua orang.

Kolam Air 70 Meter

Kolam Air sepanjang 70 meter direka khusus untuk YANGWANG U8.

Melalui kaca pemerhatian bawah air, pengunjung boleh menyaksikan SUV itu bergerak ke hadapan, membelok, atau mengundur di dalam air di bawah kawalan platform e4.

Plat Basah dan Licin

Litar ini merupakan lokasi ideal untuk mendemonstrasikan teknologi keselamatan dalam NEV.

Litar ini mensimulasikan keadaan jalan berais dengan permukaan simen basah dan digilap.

Menggunakan plat sedut boleh gerak untuk mensimulasikan kehilangan kawalan, ia membolehkan pemandu mengalami situasi kecemasan dalam persekitaran terkawal.

Litar Lumba dan Pengalaman Off-Road

Litar Lumba sepanjang 1,758 meter merangkumi sembilan selekoh dan bahagian pecutan lurus sepanjang 550 meter.

Pemandu boleh merasai pecutan mendebarkan di laluan lurus atau menguji ketepatan stereng kenderaan di selekoh ekstrem.

Padok Dinamik

Padok Dinamik seluas 15,300 meter persegi menampilkan lebih daripada 12 belas cabaran  seperti slalom standard, ujian rusa dan parkir automatik dan mempamerkan pelbagai teknologi pintar BYD.

Taman Off-Road

Sebanyak 27 situasi off-road ditawarkan, dari tahap pemula hingga lanjutan, membolehkan keseronokan pemanduan off-road dapat diakses oleh lebih ramai orang.

Peluasan dan Pembangunan Budaya Perlumbaan

Selain Zhengzhou All-terrain Circuit, BYD akan membuka kemudahan di Hefei dan Shaoxing tidak lama lagi.

Kawasan off-road di Shaoxing meliputi 2,000 ekar pada ketinggian 500 meter.

BYD dan Persekutuan Sukan Automobil dan Motosikal China (CAMF) telah mengumumkan Skim Trek Baharu untuk memperkenalkan budaya perlumbaan kepada lebih ramai orang.

Skim ini menyasarkan 1 juta pengguna dan memupuk 100 pelumba profesional.

Presiden CAMF, Guojun Zhan, menyatakan bahawa Litar BYD akan mempercepatkan profesionalisme acara perlumbaan NEV China dan membentuk semula budaya automotif China.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here