
Penggunaan bahan kitar semula pada komponen automotif bukanlah satu perkara yang asing, ia kini merupakan satu kelaziman yang dilakukan bertujuan untuk menjaga alam sekitar.
Honda turut menggunakan pendekatan yang sama dalam penghasilan komponen motosikal.
Sejak tahun 2024, Honda menggunakan plastik bampar kitar semula yang dikumpulkan daripada jaringan pengedar bagi menghasilkan kotak storan khusus untuk model X-ADV.
Bukan itu sahaja, dua model motosikal Honda yang baru dikemas kini menggunakan pendekatan yang serupa, iaitu Honda Forza 750 dan Honda X-ADV.
Tidak seperti kotak storan X-ADV, panel plastik bagi kedua-dua model tersebut diperbuat daripada lebihan plastik yang terhasil semasa proses acuan dan pembuatan.
Menurut Honda, adalah lebih mudah untuk menggunakan bahan plastik tersebut di mana Honda boleh mengubahnya menjadi komponen lain tanpa perlu risau akan perubahan sifatnya, berbanding penggunaan plastik yang telah digunakan dan kemudian dikitar semula.
Selain penggunaan plastik bio, Honda turut menemukan cara untuk memanfaatkan bahan aluminium yang dikitar semula pada motosikalnya.

Bahan aluminium yang dikitar semula itu akan digunakan semasa penghasilan rim berdiameter kecil (seperti model skuter dan kapcai), sebelum diperluaskan kepada motosikal bersesaran besar di Jepun.
Melihatkan kepada kejayaan ujian percubaan yang dibuat, Honda merancang untuk terus mengembangkan penggunaan aluminium yang dikitar semula pada model lain serta pasaran lain pada masa akan datang.

































