Elak jalan berlubang punca pekerja PBT maut

234

Cuba mengelak jalan raya berlubang dipercayai punca kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) maut dalam kemalangan di Kampung Sentosa Jaya, Jalan Sandakan-Lahad Datu, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa yang juga pemandu lori sampah dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.



“Sebaik tiba di lokasi, lori sampah tersebut hilang kawalan kerana mengelak jalan berlubang dan tidak rata lalu menyebabkan lori yang dipandunya terbabas dan terbalik ke sebelah kanan atas jalan raya.

“Akibatnya, mangsa terhimpit di bahagian kerusi pemandu oleh badan bahagian depan kepala lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kinabatangan bagi membantu siasatan atau hubungi Pegawai Penyiasat di talian 014-9551030 atau pusat kawalan Bilik Gerakan IPD Kinabatangan (089-561890). 

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mohamad Izuan Mambasang, 39, maut akibat tersepit di bahagian pemandu manakala rakannya dikenali sebagai Ahmad Din Ahmad cedera dan Muhd Saufi Ahmad, 26, terselamat.

Kesemua mangsa ketika itu menaiki lori sampah milik Majlis Daerah Kinabatangan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here