Lokomotif melanggar lori simen cuba melintas landasan, salah siapa?

2153

Tular di media sosial semalam berkenaan video sebuah lokomotif (kepala kereta api) yang melanggar sebuah lori simen yang cuba melintasi jalan. Kejadian dikatakan berlaku di Klang, Selangor.

Dalam video pendek berdurasi kira-kira 18 saat itu, kedengaran bunyi hon panjang dari lokomotif yang mungkin telah menekan brek dan cuba untuk berhenti.



Sebuah lori simen pula kelihatan sedang perlahan-lahan cuba melintasi landasan yang tidak mempunyai sebarang palang atau lampu isyarat.

Lori simen itu seolah-olah berhenti sekejap di tengah-tengah landasan, kemudian kelihatan penjaga landasan melambai-lambai memegang bendera hijau seolah-olah sedang memberi amaran.

Lori simen itu dilihat cuba memecut melepasi landasan itu tetapi tidak sempat. Ia dilanggar oleh lokomotif yang bergerak perlahan dan cuba untuk berhenti.

Tetapi anda tahu sajalah berapa jauh jarak perlu diambil oleh sebuah keretapi untuk berhenti disebabkan berat keseluruhan yang boleh mencecah ratusan tan dan momentum yang dibawa.

Jadi pelanggaran bawah 20km/j pun mampu menumbangkan lori simen itu.

Pemandu lori berusia 43 tahun didakwa mengabaikan arahan melintas laluan kereta api. Biarpun sudah diarahkan berhenti oleh penjaga stesen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemandu lori simen terselamat meskipun jentera berat dipandunya remuk akibat rempuhan.

Menurutnya, perlanggaran juga mengakibatkan muatan simen dibawa tertumpah di lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku apabila lori simen melintas laluan kereta api sebelum dilanggar lokomotif dipandu lelaki berusia 58 tahun.

“Lokomotif itu rosak di bahagian enjin hadapan, namun kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Keretapi 1991 oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Jadi, salah siapakah kejadian ini? Adakah salah pemandu lori kerana mengabaikan arahan penjaga atau tidak berhati-hati melintas, atau salah penjaga landasan yang memberi arahan/amaran mengelirukan, atau salah keretaapi kerana melanggar lori simen itu?

 

Video dan gambar: Jessie Ooi

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here