Mazda CX-8 SUV bergaya untuk keluarga lebih besar, kini boleh mula ditempah

2736

Bermaz Motor telah secara rasminya mempertontonkan Mazda CX-8 untuk pasaran Malaysia di fasiliti pemasangan syarikat itu di Kulim Manufacturing Plant, Kulim, Kedah. Dan ya, model Mazda CX-8 ini hadir sebagai versi pemasangan tempatan (CKD).

Mazda CX-8 merupakan sebuah SUV tiga baris tempat duduk dan diposisikan di antara CX-5 dan CX-9. Menurut Mazda, CX-8 merupakan extension atau cabang kepada CX-5. Ia berukuran 4,900mm panjang, 1,840mm lebar, 1,730mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,930mm.



Pada tahap ini, anda pasti tertanya-tanya berapakah harganya. Namun, kami masih belum mendapat harga kerana Mazda masih dalam proses menunggu kelulusan dari kerajaan. Anda boleh jangkakan yang ia lebih mahal sebanyak 15-20 peratus berbanding CX-5.

Empat varian ditawarkan di Malaysia, iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus, 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD High.

Bergantung kepada varian, Mazda CX-8 dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 2.5-liter petrol atau SkyActiv-D 2.2-liter diesel. Versi petrol menjana 192hp @ 6,000rpm dan 258Nm tork @ 4,000rpm manakala versi diesel menghasilkan 188hp @ 4,500rpm dan 450Nm @ 2,000rpm.

Transmisi ialah automatik SkyActiv Drive 6-kelajuan untuk semua.

Seperti model Mazda yang terkini, CX-8 direka menggunakan bahasa rekaan KODO Design. Ini memberikannya garisan melengkung panjang di badan dengan perincian halus dan tajam di kawasan lampu.

Kelengkapan luaran adalah lampu depan auto LED dengan LED DRL (kecuali 2WD Mid menggunakan DRL mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED, antenna sirip jerung, rel bumbung (2.2 AWD High sahaja), spoiler belakang, ekzos berkembar dan rim 19-inci.

Untuk dalaman pula, Mazda CX-8 direka dengan mengutamakan ergonomik penumpang dan pemandu. Ia juga direka berkonsepkan Jinba-Ittai untuk pemandunya.

Tempat duduknya memberikan keluasan dan keselesaan untuk ketiga-tiga baris penumpang. Pintu belakang juga memberikan bukaan cukup luas untuk kemudahan penumpang masuk ke tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Tiga konfigurasi tempat duduk

Kabin CX-8 ini ditawarkan dengan tiga konfigurasi tempat duduk, iaitu 7-tempat duduk (2-3-2) untuk 2.5 2WD, 6-tempat duduk (2-2-2) dengan tempat duduk kapten barisan kedua untuk 2.5 2WD dan 6-tempat duduk dengan konsol di tengah-tengah tempat duduk barisan kedua.

Unit infotainmen pada CX-8 ini bukanlah yang terkini dari Mazda. Dipapar pada skrin 7-inci, sistem MZD Connect ini datang dengan arahan suara, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth, navigasi, port USB dan kamera undur.

Dari segi keselamatan, kenderaan itu didatangkan dengan 6 beg udara, ABS, EBD, Emergency Brake Assist, Traction Control System, Dynamic Stability Control, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist, dan penggera amaran tali pinggang keledar untuk kesemua tiga barisan.

Beberapa varian juga dilengkapi dengan ciri keselamatan lebih maju seperti Adaptive Front Lighting System, Adaptive LED Headlights, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert dan Smart City Brake Support.

6 warna badan boleh dipilih iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver dan Jet Black.

Ia kini boleh mula ditempah. Ia akan diberikan jaminan 5-tahun dan penyelenggaraan percuma 5-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here