Lapor kenderaan asing isi petrol RON95

1566

Jika anda melihat seseorang dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95, ambil gambar dan hantarkannya kepada hotline aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Exco Dr S. Ramakrishnan tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah pemandu kereta berpendaftaran asing menggunakan kad kredit di pam untuk mengisi RON95 dan bukan dengan juruwang di kaunter.



“Mungkin sesetengah stesen minyak tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk kerja-kerja itu,” katanya.

Mengikut undang-undang, kereta dengan pendaftaran asing, termasuk yang dipandu oleh rakyat Malaysia, tidak dibenarkan membeli petrol RON95 yang disubsidi.

“Mereka mesti membeli RON97 atau lain-lain.

“Saya menggesa pemilik stesen minyak dan juga pemandu-pemandu lain yang melihat ini supaya segera melaporkan kepada jabatan,” kata Ramakrishnan, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai klip video yang tular mengenai seorang yang memandu kenderaan pendaftaran asing mengisi petrol RON95 di Johor pada 2 Januari.

“Kami telah menerima aduan mengenai ini dan memandang serius perkara ini. Tindakan akan diambil kepada pemilik stesen minyak jika membenarkan perkara ini berlaku,” katanya.

Dia menambah bahawa kes sebegini sangat jarang berlaku, jabatannya hanya menerima satu aduan tahun lepas.

Ramakrishnan berkata pemilik kereta asing mungkin telah menukar taktik mereka dan menggunakan kad kredit di pam untuk mengelak pergi ke kaunter juruwang.

Berkenaan kes terbaharu itu, dia berkata stesen minyak telah dikenalpasti dan pemilik telah diminta untuk membuat kenyataan.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, individu berhadapan dengan denda tidak lebih dari RM1 juta, atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya. Syarikat pula boleh didenda tidak lebih dari RM2 juta.

Aduan awam boleh dibuat kepada 03-8000 8000, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Whatsapp kepada 019-279 4317.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here