Aktif curi motosikal sejak tahun 2013, Geng KTM kini tumpas

2520

Aktif dengan aktiviti curi motosikal KTM sejak 2013, kumpulan yang mendalangi kegiatan ini berjaya ditumpaskan oleh pihak polis.

Ini berikutan tertangkapnya lapan suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.



Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata tangkapan itu turut membabitkan dalang utama kumpulan itu yang sedang menjalani hukuman buang daerah ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Suspek utama dan tujuh lagi rakan sejenayah, berusia antara 29 hingga 42 tahun ditangkap dalam tempoh 24 jam pada Jumaat lalu dengan tangkapan pertama dibuat melalui serbuan yang dijalankan di Putrajaya.”

“Susulan tangkapan itu, suspek selebihnya ditahan dalam serbuan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lestari Perdana, Seri Kembangan dan Pasir Panjang, Negeri Sembilan,” katanya. 

Siasatan kes ini mula dijalankan susulan aduan daripada seorang mangsa selepas motosikal jenis KTM RC390 miliknya hilang ketika diparkir di sebuah pusat beli-belah di Puchong pada 30 Ogos lalu.

Selain tangkapan, pihak polis juga berjaya menemui semula lapan motosikal curi dianggarkan bernilai RM100,000 di tempat parkir motosikal sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Bukit Jalil.

Hasil soal siasat ke atas dalang utama berusia 34 tahun, dia mengakui mendalangi lebih 100 kes curi motosikal jenis KTM sejak 2013. Kesemua motosikal dicuri itu dileraikan sebelum menjual komponen motosikal berkenaan sebagai alat ganti kepada mereka yang berminat.

Kumpulan dikenali sebagai Geng KTM ini didapati menjual komponen alat ganti motosikal curi itu secara dalam talian selain berselindung di sebalik perniagaan bengkel kereta milik seorang suspek dengan harga jauh lebih rendah.

Berdasarkan rekod, tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua lapan suspek positif dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here