Pelajar Malaysia 9-tahun cipta sistem sut angkasa NASA untuk ‘melabur’

2579

Seorang pelajar lelaki Malaysia berusia 9-tahun telah mencipta satu sistem pintar untuk masalah yang telah lama dihadapi oleh angkasawan NASA (National Aeronautics and Space Administration), iaitu untuk ‘melabur’ atau membuang air.

Imej: New Straits Times

Ia menjadi isu apabila urusan ‘pelaburan’ itu hendak dilakukan di angkasa dengan keadaan mikro-graviti. Namun hal ini bakal diselesaikan oleh Zyson Kang Zy Sun, seorang pelajar Tahun 3 dari SJK (C) Pin Hwa 1, Setia Alam, Shah Alam dengan rekaannya, “Spacesuit Lunar Toilet”.

Rekaan Zyson ini memenangi hadiah utama dalam pertandingan Nasa’s Lunar Loo Challenge 2020 (Junior Category), menewaskan 897 peserta lain dari 85 negara.



Imej: Facebook I Discovery World

Alat ini boleh dimuatkan dengan mudah dalam sut angkasawan. Ciri utama yang membuatkan rekaan ini menang adalah kerana ia tidak menggunakan sebarang kuasa elektrik atau bateri, sebaliknya hanya menggunakan tenaga kinetik.

“Ia berfungsi dengan menghasilkan konsep kinetic mekanikal manual untuk mewujudkan kuasa sedutan vakum untuk menyedut sisa buangan ke tempat yang selamat,” kata Zyson.

“Bila anda menggerakkan kaki, cecair akan mengalir ke bawah memasuki bekas khas di but angkasawan.

“Rekaan ini tidak memerlukan sebarang komponen elektrik, maka ia meminimumkan potensi kegagalan di angkasa,” tambah Zyson.

Imej: Facebook I Discovery World

Chong Soo Sheong, 43, yang telah melatih Zyson di pusat sains I-Discovery World berkata, “Zyson mempunyai minat dan kemahiran reka cipta.

“Dia rajin membaca dan mempunyai sifat ingin tahu. Sains menarik minatnya, terutamanya astronomi.”

Chong juga berkata Zyson telah memulakan projek ini pada Jun, dan dia menyerahkan model ini kepada pasukan Nasa untuk dinilai pada Ogos.

“Pada 29 Oktober, Nasa menjemputnya untuk membentangkan modelnya melalui webinar. Pasukan Nasa sangat kagum dengan keringkasan model ini.

Sistem buangan untuk sut angkasa ini juga akan dapat membantu doktor dan jururawat semasa mereka menangani situasi-situasi kecemasan.

“Contohnya, petugas perubatan biasanya perlu menanggalkan atau menukar PPE mereka untuk ke tandas semasa menangani pesakit-pesakit Covid-19.

“Rekaan Zyson ini pastinya dapat memudahkan para doktor dan jururawat untuk menyelesaikan ‘urusan’ ini tanpa menanggalkan PPE,” kata Chong.

Lunar Loo Challenge NASA ialah pertandingan peringkat antarabangsa yang mencari rekaan baharu untuk tandas yang boleh berfungsi dalam keadaan mikro-graviti untuk misi mereka ke bulan pada 2024 nanti.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here