Puntung rokok punca Proton Iswara Aeroback bawa mercun bola meletup

1352

Kejadian sebuah kereta yang membawa muatan mercun bola yang meletup di Simpang Empat Lampu Isyarat, Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan semalam (Jumaat) dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh mangsa.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, maklumat itu diperoleh daripada beberapa orang saksi yang melihat mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 48, cuba membuang puntung rokok sebelum Proton Iswara Aeroback dipandunya meletup kira-kira pukul 5:30 petang.



“Ketika kejadian, sebuah kereta yang berada di hadapan kereta mangsa telah berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

“Ketika itu, ada saksi telah melihat mangsa cuba membuang puntung rokok keluar dari cermin yang dibuka dalam keadaan sempit sebelum kereta tersebut meletup,” katanya.

Iswara Aeroback meletup

Menurut Shafien, polis sedang menyiasat mercun bola yang dibawa oleh mangsa dalam kuantiti banyak di dalam keretanya.

Katanya, sehubungan dengan itu, pihaknya juga masih menyiasat penglibatan mangsa terlibat dengan kegiatan penyeludupan mercun selain semua barangan yang dibawa di dalam kereta itu dijual secara borong atau runcit.

Selain itu, tiga daripada empat mangsa termasuk anggota polis dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Keadaan semua mangsa dilaporkan stabil dengan salah seorang mangsa sudah dibenarkan pulang.

Iswara Aeroback meletup

Ujar Shafien, siasatan turut mendapati, kejadian itu memberi impak besar apabila kesan letupan kereta itu tersebar sehingga 100 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, kejadian itu merupakan kes terbesar dan pertama kali berlaku di negeri ini sehingga polis Kelantan memerlukan bantuan pasukan Unit Bom, Bukit Aman untuk menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca letupan itu.

Semalam, seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan selepas Proton Iswara Aeroback membawa muatan mercun bola yang dipandu meletup petang semalam.

Kejadian ngeri itu menyebabkan mangsa, Wan Hassan tercampak kira-kira 20 meter dari keretanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here