UK pasang kamera perisian AI tangkap pemandu guna telefon, Malaysia perlu guna langkah sama?

741

Tahap keseriusan pemandu yang menggunakan telefon bimbit amat membimbangkan bukan saja di Malaysia bahkan negara luar. 

Walaupun bakal didenda jika tertangkap, sedikit pun tidak memberi kesan malah rata-rata pemandu masih bersikap tidak endah. Justeru itu, ada antara negara yang tampil dengan penguatkuasaan baharu bagi menangani masalah itu.

KAMERA TEKNOLOGI TINGGI



Misalnya menggunakan kamera yang boleh merakamkan imej pemandu yang menggunakan telefon. Kamera berteknologi tinggi itu boleh menangkap gambar serta-merta pemandu yang menelefon, menghantar mesej atau menatal (skrol) skrin telefon.

Hasil imej yang dirakam kamera itu menunjukkan satu daripada 200 pemandu menggunakan telefon di jalan raya bahkan satu kamera saja merekodkan 15,000 kes sepanjang tempoh enam bulan.

Bagaimanapun pesalah tidak dapat didakwa kerana perbicaraan adalah berdasarkan ‘bukti konsep’ dan memerlukan perubahan perundangan untuk dikuatkuasakan.

Justeru itu, satu sistem automatik baharu dipilih yang menggunakan perisian kepintaran buatan (AI) untuk menganalisis foto berdefinisi tinggi serta-merta yang dirakam melalui cermin depan setiap kenderaan yang lalu. 

Kamera pintar itu sedang diuji di lebuh raya yang tidak didedahkan menjelang penguatkuasaan penuh larangan menggunakan telefon pintar bermula tahun depan.

RAKAMAN GAMBAR JELAS SEHINGGA KELAJUAN 298KMJ

Syarikat penguatkuasaan teknologi, Jenoptik yang menguji kamera itu di United Kingdom percaya ia penting dalam mengemukakan bukti bagi mendakwa pesalah.

Skim perintis itu dijalankan sejak musim bunga dan diharapkan pelancaran lebih meluas di seluruh negara akan dapat dilaksanakan tahun depan. 

Kamera itu boleh dipasang pada gantri atas atau dipasang dalam treler mudah alih menggunakan laju pengatup (shutter speed) yang sangat tinggi untuk mengambil gambar melalui cermin depan setiap kenderaan yang lalu.

Imej definisi tinggi itu dapat dirakamkan dalam apa jua cuaca, pada kelajuan sehingga  298kmj tanpa sebarang gerakan kabur.

Perisian canggih akan menyaring setiap imej dalam masa sebenar dan menandakan imej pemandu yang dianggap melanggar undang-undang kepada pasukan pengendali untuk semakan. 

Jika penggunaan kamera itu diluluskan, imej akan dihantar ke pihak polis dan notis pendakwaan akan diposkan kepada pemilik kenderaan dengan cara yang sama seperti penalti memandu laju. 

KUATKUASA LARANGAN GUNA TELEFON TAHUN DEPAN

Sebenarnya teknologi ini sudah digunakan di New South Wales, Australia yang mana kesannya jelas apabila kes kematian jalan raya menurun sebanyak satu perlima sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

Australia melaksanakan penggunaan telefon kamera khas bagi mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit di jalan raya. Penguatkuasaan itu menjadikan negara itu yang pertama di dunia berbuat demikian.

November lalu, Kerajaan UK mengumumkan larangan penggunaan telefon bimbit  ketika memandu bermula tahun depan. Pesalah akan berdepan denda sehingga pound sterling 200 (RM1,127) dan enam mata pada lesen mereka akan ditolak.

Penguatkuasaan itu bagi menutup kelemahan undang-undang semasa yang mana pemandu hanya boleh didakwa apabila mereka ditangkap menggunakan telefon untuk membuat panggilan atau menghantar mesej.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here