Bapa rela tidur dalam kereta di parkir hospital demi anak

801

Seorang bapa sanggup berkorban tidur dalam kereta yang di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh demi anak.

Video Proton Satria milik Adi Saifullizam Abdul Sani, 40 yang dipasang dengan khemah sambungan belakang kereta dan diletakkan di ruangan parkir HRPB, tular di media sosial. 



Anaknya, Muhammad Afeef Mikhail, 8 dirawat di hospital berkenaan sejak menjalani pembedahan bagi pengambilan sampel sel serta memasukkan tiub sekitar tengah malam Sabtu lalu, selepas disahkan menghidap tumor otak sehari sebelumnya.

Anaknya kini stabil namun masih perlu dirawat dan dipantau di Wad Pediatrik HRPB ditemani isteri, Aminah Othman.

“Keputusan bermalam dalam kereta ini diputuskan bersama isteri selepas mengambil kira tahap kemampuan kewangan kami termasuk untuk berulang-alik dari rumah inap dan sebagainya.

“Tidur dalam kereta bukanlah lena mana sekadar baring untuk meregang badan dan hilangkan letih.

“Yang penting saya dapat segera sampai jika ada sebarang keputusan atau permintaan doktor yang memerlukan untuk saya sampai ke atas (wad),” katanya. 

Bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bidor dan menetap di Trolak manakala Aminah hanya suri rumah sepenuh masa Adi berkata, dia juga mengambil cuti tanpa gaji selama seminggu hingga Sabtu ini untuk bersama-sama isteri memantau anaknya.

Katanya, dua lagi anaknya iaitu anak sulung dan anak kedua kini dijaga sementara oleh saudara terdekat.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here