ZF tunjuk rekaan stereng generasi baharu dengan skrin pada bahagian tengah

40

Beg udara pemandu sentiasa diletakkan pada bahagian tengah roda stereng sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1980-an.

Walau bagaimanapun, pengeluar alat ganti kereta terkemuka dari Jerman iaitu ZF berhasrat untuk mengubah tradisi itu menerusi roda stereng generasi baharunya.

Direka oleh divisyen keselamatan pasifnya iaitu ZF Lifetec, roda stereng berkenaan akan mengeluarkan beg udara dari pemegang atas, bukannya dari tengah, sekiranya berlaku kemalangan.



Syarikat itu berkata rekaan unik sedemikian tidak menjejaskan keselamatan pemandu, malah ia membuka pelbagai kemungkinan dari segi reka bentuk dan kefungsian.

Sebagai contoh, kedudukan beg udara pada bahagian pemegang atas membolehkan pengeluar kenderaan mengintegrasikan pelbagai fungsi sensitif sentuhan di bawah jejari (spoke) dan bahagian tengah stereng.

Malah dengan rekaan baharu ini, ZF Lifetec menunjukkan yang pengeluar kenderaan kini boleh meletakkan skrin pada bahagian tengah stereng untuk memudahkan pemandu mengakses sistem infotainmen dan bantuan pemanduan.

Bukan itu sahaja, ZF berkata pengeluar juga boleh memasang penderia kapasitif di bawah permukaan kulit bagi mengesan sama ada pemandu sedang memegang stereng atau pun tidak.

Tetapi memandangkan kebanyakan kereta moden pada masa kini sudah mempunyai panel instrumen digital, skrin sentuh untuk sistem infotainmen, dan head-up display, adakah kita masih memerlukan sebuah lagi skrin?

Melainkan anda seorang pemandu Formula 1 yang perlu melaraskan pelbagai tetapan ketika berlumba, skrin pada stereng dilihat sebagai sesuatu yang tidak diperlukan.

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah lebih banyak butang dan tombol fizikal yang boleh membantu pemandu mengubah suhu pendingin hawa dan sebagainya tanpa perlu mengalihkan pandangan dari jalan raya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here