Proton capai pengeluaran 5 juta unit dalam tempoh 41 tahun

88

Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini mencapai satu lagi kejayaan dalam sejarah 41 tahunnya apabila berjaya mencapai pengeluaran melebihi lima juta unit.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata Proton X90 Flagship adalah kenderaan yang mencatat rekod sebagai unit kelima juta.

Perkara itu dimaklumkan semasa lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perindustrian dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanglong ke ibu pejabat Proton di kompleks Center Of Excellence, Subang Jaya.



Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata pengumuman mengenai Proton X90 Flagship ini merupakan simbolik sejauh mana syarikat telah berkembang sejak permulaan kerjasama dengan Kumpulan Geely sejak 2017.

 

“Baru-baru ini, kami mengumumkan e.MAS sebagai jenama untuk produk kenderaan elektrik Proton masa hadapan dan hari ini kami telah menetapkan satu lagi pencapaian. Oleh yang demikian, masa depan penuh dengan peluang untuk Proton terus menyediakan mobiliti yang mampan bagi rakyat Malaysia dan pasaran eksport kami,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, syarikat itu berkata Proton telah melancarkan empat model serba baharu yang dibinakan bersama Geely, menaik taraf model rekaan tempatannya dan memperkenalkan kecerdasan dan ketersambungan kepada barisan modelnya.

Dengan penambahbaikan dalam kualiti produk, pelaburan dalam pengurusan selepas jualan dan alat ganti serta penubuhan rangkaian pengedar dengan bilangan cawangan 3S/4S tertinggi di Malaysia, aktiviti ini telah membawa kepada pertumbuhan jualan lima tahun berturut-turut dengan peningkatan yang sepadan dalam pengeluaran, katanya.

 

“Sejak pengenalan Proton X70 pada 12 Dis 2018, lebih daripada 217,000 unit kenderaan utiliti sukan (SUV) siri X syarikat telah dijual setakat ini kepada pelanggan pasaran tempatan dan eksport.

“Ini membolehkan Proton jauh meneraju jualan keseluruhan SUV di Malaysia dalam tempoh masa itu,” katanya.

Syarikat berkata penjualan Proton Saga pula telah melepasi dua juta unit, membolehkannya mengekalkan kedudukan sebagai kereta buatan Malaysia paling popular.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here