JPJ perketat pantau pergerakan lori di seluruh negara

56

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat operasi pemantauan terhadap pergerakan lori serta kenderaan berat yang beroperasi di kawasan kuari di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata menerusi aduan diterima, terdapat pemandu lori ini yang melanggar tempoh masa pergerakan dan membawa muatan berlebihan.

“JPJ buat tinjauan, risikan di kawasan kuari di seluruh negara untuk melihat adakah mereka (pengusaha kuari dan kenderaan) mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ),” katanya kepada pemberita pada pemeriksaan JPJ terhadap lori di kawasan kuari di Labu dekat sini.



Pemeriksaan tersebut turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata kementerian meminta JPJ meletakkan anggota dan pegawai penguat kuasa jabatan itu di kawasan kuari, supaya tindakan tegas diambil terhadap lori membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ mengeluarkan sebanyak 230 notis kepada lori atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak mematuhi waktu operasi ditetapkan di kawasan kuari di sekitar Nilai.

“Jika kita lihat di kawasan ini jalannya kecil dan ada sekolah di sini, jadi memang berbahaya kepada penduduk, pergerakan lori ini dibenarkan bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja, kita tidak mahu sebelum pukul 8 dan selepas pukul 5 mereka masih di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan operasi pemeriksaan terhadap kenderaan berat turut dilaksanakan JPJ di seluruh negara iaitu menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan.

Beliau berkata berdasarkan statistik sebanyak 67,176 notis kesalahan dikeluarkan dan 129 kenderaan di sita, hasil pemeriksaan 185,340 kenderaan perdagangan dan 24,208 kenderaan perdagangan perkhidmatan awam dari September hingga Oktober.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here