
Honda Malaysia sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil sebagai Rakan Rasmi Pengangkutan untuk Persidangan CEO Kereta Api ASEAN (ARCEOs’) ke-45 yang berlangsung dari 8 hingga 12 September 2025 di Kuala Lumpur.
Dalam kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Honda menyediakan 25 unit All-New e:N1, iaitu model Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) pertama Honda Malaysia yang dilancarkan tahun ini.
Ia digunakan bagi memudahkan pergerakan pemimpin industri kereta api serta delegasi dari lapan negara ASEAN sepanjang acara lima hari berkenaan.
Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata kerjasama itu adalah simbol sinergi antara dua industri besar membabitkan automotif dan kereta api, yang sama-sama berusaha menuju mobiliti hijau.
“Kami berbangga menyokong acara berprestij ini dengan menyediakan pengalaman perjalanan lancar di Lembah Klang.
“Ia selari dengan janji jenama kami ‘The Power of Dreams, How We Move You’ yang menghubungkan komuniti serta industri sambil membawa kegembiraan mobiliti,” katanya.
Bagi Honda, projek ini bukan sekadar sokongan logistik, tetapi juga usaha memperkenalkan teknologi EV mereka dalam skala lebih besar, dengan mesej jelas bahawa mobiliti elektrik ialah masa depan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, ARCEOs’ kali ini bukan sekadar dialog, tetapi platform untuk membuka peluang, memperkukuh kerjasama dan memajukan visi mobiliti serantau.
“Kami berbesar hati mempunyai Honda Malaysia sebagai rakan rasmi yang menyediakan kenderaan EV eksklusif untuk para delegasi.
“Ia selaras dengan tema tahun ini ‘Driving Innovation, Connecting Borders’, menunjukkan bagaimana industri automotif dan rel boleh bekerjasama membentuk mobiliti premium dan lestari,” katanya.
Sebagai info, Honda e:N1 ialah model BEV pertama Honda Malaysia. Ia ditawarkan kepada pelanggan tempatan sejak tahun ini dengan teknologi moden, rekaan futuristik serta jarak perjalanan harian yang praktikal untuk gaya hidup urban.