
Geely memaklumkan jualan model elektrik EX2 mencecah 465,775 unit bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, sekali gus meletakkannya sebagai kereta segmen A/B paling laris di dunia.
Bagi pasaran China pula, model yang dikenali sebagai Xingyuan ini muncul sebagai kereta paling laris merentasi semua segmen dalam tempoh yang sama.
Pencapaian tersebut turut menetapkan tanda aras baharu dalam industri apabila Geely EX2 berjaya mencapai jumlah penghantaran terkumpul sebanyak 500,000 unit dalam tempoh hanya 14 bulan selepas pelancaran.
Rekod ini merupakan yang terpantas bagi mana-mana EV yang dilancarkan di China sepanjang tahun 2024 hingga 2025.
Reka Bentuk Luaran dan Praktikaliti Ruang
Dari segi reka bentuk, Geely EX2 menampilkan rupa hadapan tersenyum dan perkadaran yang seimbang bagi menghasilkan gaya elegan dan dinamik, sekali gus mencerminkan karakter yang muda dan sofistikated.
Walaupun dikategorikan sebagai model kompak, ia dibina dengan susun atur lima tempat duduk yang luas serta menawarkan ruang lutut tempat duduk belakang sebanyak 890 mm.
EX2 juga praktikal dengan adanya 36 ruang simpanan di seluruh kabin, termasuk but hadapan berkapasiti 70 liter, ruang bawah tempat duduk belakang 28 liter, serta ruang kargo belakang yang boleh dibesarkan dari 375 liter sehingga 1,320 liter.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi EX2/Xingyuan
Dibina berasaskan seni bina GEA Geely, EX2 menonjol sebagai satu-satunya model dalam segmen yang dilengkapi ampaian belakang jenis multi-link bebas serta konfigurasi pacuan roda belakang (RWD).
Gabungan ini menawarkan keseimbangan yang jitu antara kestabilan pemanduan dan keseronokan memandu.
Radius pusingan minimum 4.95 meter meningkatkan lagi kelincahan dalam persekitaran bandar.
EX2 juga satu-satunya model dalam segmen yang menggunakan sistem pacuan elektrik 11-dalam-1 yang bersepadu tinggi, sekali gus memastikan tahap keseimbangan yang cemerlang antara output kuasa dan kecekapan tenaga.
Bagi varian Standard, ia menghasilkan kuasa maksimum 58 kW (79 ps) dengan tork 130 Nm, manakala varian UP pula menawarkan prestasi lebih tinggi dengan 85 kW (116 ps) dan tork 150 Nm.
Aspek keselamatan dan ketahanan bateri juga menjadi keutamaan di mana EX2 merupakan satu-satunya model dalam kelasnya yang menampilkan sistem bateri sejukan cecair.
Sistem storan tenaga daripada CATL ini disokong oleh Shield Battery Safety System dan Battery Doctor BMS 3.0 untuk perlindungan aktif dan pasif yang menyeluruh.
Pengecasan pantas DC membolehkan tahap bateri 30% hingga 80% (SOC) dicapai dalam tempoh hanya 21 minit.
Proton e.MAS 5 di Malaysia
Untuk pasaran tempatan, model ini dikenali sebagai Proton e.MAS 5 yang ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Prime dan Premium.
Prestasi jualan e.MAS 5 juga hebat dan pada Januari 2025 berada di kedudukan kelima terlaris dengan jumlah pendaftaran sebanyak 3,068 unit.
Di antara faktor utama penyumbang kepada populariti e.MAS 5 adalah harga yang cukup menarik iaitu serendah RM56,800 (Prime) dan RM69,800 (Premium) setelah ditolak rebat pelancaran RM3,000 daripada harga asal masing-masing iaitu RM59,800 dan RM72,800.
Dari segi kelengkapan, varian Prime hadir dengan kelengkapan standard termasuk 6 beg udara, paparan FHD bersaiz 14.6 inci dan kerusi balutan kulit tiruan.
e.MAS 5 Premium tampil dengan ciri yang lebih mewah seperti rim aloi bersaiz 16 inci, kamera 360 darjah dan fungsi bantuan pemandu pintar (ADAS).
Kemudahan tambahan seperti pintu but kuasa elektrik dan lampu hadapan LED aerodinamik turut disertakan bagi meningkatkan nilai premium model ini.
Dari segi prestasi, e.MAS 5 mengekalkan spesifikasi rangkaian kuasa yang sama dengan EX2 melalui sistem pacuan roda belakang (RWD) dan ampaian multi-link.
Varian Prime dilengkapi bateri 30.12 kWj yang menawarkan jarak gerak 225 km (WLTP), manakala di China ia diukur sebagai 310 km (CLTC).
Bagi varian Premium dengan bateri 40.16 kWj, ia menawarkan jarak gerak 325 km (WLTP) berbanding 410 km (CLTC) pada model EX2.
Kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC dari 30% ke 80% dalam masa 21 minit.
Spesifikasi Geely Xingyuan / (Proton e.MAS 5)
Seni Bina & Sistem Pacuan
- Platform: Geely GEA (Geely Electric Architecture)
- Sistem Pacuan: Roda Belakang (RWD)
- Ampaian: Depan MacPherson / Belakang Multi-link Independent
- Radius Pusingan: 4.95 meter
Prestasi Motor Elektrik
- Xingyuan Standard (e.MAS 5 Prime): 58 kW / 79 ps / 130 Nm
- Xingyuan UP (e.MAS 5 Premium): 85 kW / 116 ps / 150 Nm
- Teknologi: Sistem pacuan elektrik 11-dalam-1
Bateri & Pengecasan
- Jenis Bateri: CATL LFP (Sistem Sejukan Cecair)
- Kapasiti Bateri: 30.12 kWj (e.MAS 5 Prime) / 40.16 kWj (e.MAS 5 Premium)
- Pengecasan Pantas (DC 30%-80%): 21 minit
Jarak Gerak (Range)
- Varian Prime (Xingyuan Standard): 225 km (WLTP) / 310 km (CLTC)
- Varian Premium (Xingyuan UP): 325 km (WLTP) / 410 km (CLTC)
- Nota: Proton e.MAS 5 menggunakan piawaian WLTP, manakala Geely Xingyuan menggunakan CLTC.
Praktikaliti & Ruang Storan
- But Hadapan (Frunk): 70 Liter
- But Belakang: 375 Liter (Maksimum 1,320 Liter)
- Storan Kabin: 36 ruang simpanan (Termasuk 28L di bawah tempat duduk belakang)
Harga Jualan Proton e.MAS 5 (OTR)
- Varian Prime: RM59,800 (RM56,800 dengan rebat pelancaran)
- Varian Premium: RM72,800 (RM69,800 dengan rebat pelancaran)





































