
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil sebanyak 225 tindakan penggantungan dan pembatalan lesen vokasional seluruh negara bagi tempoh 1 Ogos 2025 hingga 2 September 2026.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 40 kes melibatkan kemalangan maut atau kecederaan dan lapan kes melibatkan kemalangan akibat pemanduan cuai, melulu dan membahayakan.
“Manakala 167 kes kerana gagal mematuhi arahan timbang serta 10 kes berkaitan kesalahan membuang muatan.
“Sementara itu, pengendali dan syarikat yang melanggar syarat permit atau lesen pengendali turut berdepan tindakan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Sehingga hari ini, sebanyak 20 kes telah direkodkan berkaitan kes kemalangan maut, dengan 10 kes masih dalam siasatan, lima kes di peringkat perbicaraan dan lima kes telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah,” jelasnya menerusi kenyataan media.

Sabit kesalahan, boleh berdepan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Pahang yang melibatkan sebuah bas ekspres, lori dan beberapa buah kereta persendirian pada 31 Ogos lalu.
JPJ ingin menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melakukan pelanggaran undang-undang atau ketidakpatuhan, termasuk penggantungan dan pembatalan lesen memandu vokasional, di bawah Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Ujarnya, pada masa sama Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap pengendali berkaitan turut dilaksanakan, bagi menilai tahap pematuhan terhadap keperluan keselamatan yang ditetapkan merangkumi aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan pengendali.































