
PROTON memperluas rangkaian sedan segmen-C popularnya dengan memperkenalkan dua varian baharu PROTON S70 iaitu Lite dan Prime, yang ditawarkan pada anggaran harga di bawah RM60,000.

Pengenalan varian baharu ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia memiliki S70 menerusi pilihan yang lebih mampu milik tanpa mengorbankan ciri utama sedan segmen-C tersebut.
Kedua-dua varian Lite dan Prime dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5L aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Kombinasi ini menjanjikan pengalaman pemanduan lebih lancar dan santai, sesuai untuk kegunaan harian.
PROTON berkata, S70 Lite dan Prime masing-masing menawarkan 10 ciri terunggul dalam kelasnya merangkumi aspek ruang kabin, keselesaan, ketersambungan pintar, kemudahan dan keselamatan.

Langkah ini selari dengan strategi PROTON untuk menjadikan teknologi dan ciri premium lebih mudah diakses oleh pengguna dalam segmen yang lebih luas.
Tempahan bagi S70 Lite dan Prime kini telah dibuka bermula hari ini di semua cawangan sah PROTON seluruh negara.

Maklumat lanjut dan spesifikasi penuh boleh didapati di pengedar PROTON yang berhampiran. Tertakluk kepada terma dan syarat.































