Utama Berita Automotif Pasukan Suzuki juara Bol d’Or 24 Jam

Pasukan Suzuki juara Bol d’Or 24 Jam

854

Pasukan Suzuki Endurance Racing Team (SERT) melakar kemenangan dramatik pada perlumbaan pembukaan Kejuaraan Motosikal Endurance Dunia (EWC) Bol d’Or 24 Jam kelmarin.

Kemenangan itu merupakan detik paling manis bagi pasukan Suzuki selepas kali terakhir meraih kemenangan Bol d’Or pada musim 2016 sekali gus melengkapkan 17 trofi kemenangan Bol d’Or 24 Jam sehingga kini.



Cabaran

Terdahulu, perlumbaan di Litar Paul Ricard itu terpaksa dihentikan selama 12 jam berikutan angin kencang dan hujan lebat sebelum diteruskan semula pada pukul 6 pagi iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia kelmarin.

Perlumbaan paling mencabar itu tidak memberi tekanan kepada pasukan SERT turun dengan tiga pelumba terbaiknya iaitu Vincent Philippe, Etienne Masson dan Gregg Black untuk muncul juara.

Kini, Philippe yang merupakan pelumba kelahiran Perancis telah menambah koleksi trofi kemenangan buat kali ke-10 Bol d’Or selepas melakukan 313 pusingan berbanding 698 pada musim lalu.

“Sudah pasti ia bukan satu perlumbaan yang mudah kerana tahun ini kami beraksi dalam keadaan cuaca mencabar sekali gus memberi tugas sukar kepada semua pelumba serta pasukan bertanding.

“Pada perlumbaan tersebut kami bernasib baik kerana tidak terlibat dengan sebarang kemalangan. Terima kasih kepada pasukan kerana bekerja keras sepanjang minggu ini,” kata Philippe.

Pasukan YART Yamaha, yang mendahului kelompok tiga teratas gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan kebakaran pada jentera YZR-R1 milik pasukan Austria tersebut.

Pelumba YART, Loris Bas terjatuh selepas dikatakan gagal mengelak kesan tumpahan minyak di atas litar berikutan kerosakan pada jentera pasukan F.C.C. TSR Honda France.

Akibat insiden tersebut, pasukan Wojcik Racing Team dan Jerman BMW-mounted Team ERC Endurance masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan ketiga.Bagi pasukan Moto Ain pula, mereka mendahului saingan Superstock.

Bol d’Or 24 Jam menerima 56 penyertaan daripada 25 negara membabitkan 168 pelumba bagi pada siri pertama. Pusingan kedua EWC akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 13 hingga 15 Disember depan.

Sepang 8 Jam menjadi perlumbaan penting kerana dipilih sebagai pusingan kelayakan untuk beraksi ke Suzuka 8 Jam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here