Mercedes-AMG GT R dan GT C dilepaskan dari sangkar, menerkam dengan 585hp dan 557hp

2537

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan generasi terkini supercar grand tourer mereka iaitu Mercedes-AMG GT R dan GT C. Model-model flagship itu diberikan inovasi teknologi terkini untuk menjadi lebih pantas, lebih garang dan lebih lincah.

Keupayaan

Di puncak keluarga AMG ialah GT R dengan 585hp dan 700Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 3.6 saat. Ia diikuti rapat oleh AMG GT C dengan 557hp dan 680Nm tork, dan pecutan 100km/j boleh dilakukan dalam 3.7 saat.



Enjin

Nadi kepada kedua-dua model ini adalah enjin 4.0-liter turbo V8 yang dipadankan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT dwi-klac 7-kelajuan.

Mercedes-AMG GT R telah menghabiskan kebanyakan masanya di litar Nürburgring Nordschleife atau dikenali sebagai The Green Hell. Jentera ini mencatatkan masa hanya 7:10.9 minit sahaja di situ.

Rekaan

Dari segi rekaan, AMG GT membawakan bentuk depan yang panjang dan rendah, seperti sebuah grand tourer, tetapi dengan sirip dan lubang-lubang kemasukan udara untuk prestasi, penyejukan dan aerodinamik.

Dalam mod RACE pada 80km/j, komponen karbon yang seberat hanya 2kg di bawah badan kereta akan bergerak ke bawah sebanyak 40mm, mengubah aliran udara. Sistem aktif ini membolehkan GT R dikawal dengan lebih tepat.

Sistem

Terdapat juga sistem aktif AIRPANEL yang mengalirkan udara tepat ke apron depan. Ia dikawal secara elektrik dengan motor elektrik. Ia biasanya ditutup, tetapi pada kelajuan maksima, semasa membrek dan semasa membelok di kelajuan tinggi, ia akan dibuka.

Suspensi pula sudah tentu lebih fokus kepada penggunaan di litar. Komponen suspensinya adalah dari aluminium tempa yang ringan untuk mengurankan jisim unsprung dan sistem double wishbones pula mengawal pergerakan tayar dengan minima tetapi elastik.

Penyerap hentak digabungkan dengan AMG RIDE CONTROL untuk memberi kawalan terbaik di semua keadaan. Khas untuk AMG GT C, sistem RIDE CONTROL ini dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif yang mengawal secara elektronik untuk lebih kawalan.

Lampu pada AMG GT ini adalah unit LED berprestasi tinggi yang dengan DRL, lampu navigasi dan signal. Lampu belakang juga adalah LED.

Bahagian lain yang menekankan DNA perlumbaan GT R adalah bumbung gentian karbon, angkup brek berwarna kuning, dan spoiler gentian karbon. GT C pula hadir dengan bumbung suria panoramik dan angkup brek berwarna merah.

Kelengkapan lain pada GT R adalah rim AMG 5 cabang berkembar dan ekzos di tengah, manakala GT C mendapat rim AMG corak bersilang dan empat muncung ekzos di kiri dan kanan.

Bahagian dalam turut diberikan perhatian, kerana di situ pemilik dan pemandu akan duduk. Kedua-dua model mendapat paparan instrumen digital 12.3-inci dan paparan multimedia 10.25-inci di tengah. Terdapat mod Classic, Sport dan Supersport boleh dipilih sebagai tema.

Unik kepada AMG GT R ialah AMG Track Package, yang merangkumi sangkar guling (roll-cage), tali pinggang 4-poin, alat pemadam api 2kg, besi brace untuk tali pinggang dan besi brace X di belakang. Melengkapkan pakej ini ialah kerusi bucket AMG untuk lebih rasa kereta lumba.

AMG Track Pace pula adalah sistem untuk analisis pemanduan yang mengira aspek seperti catatan masa, pacutan lateral dan longitud, pergerakan pedal minyak dan brek, serta sudut pusingan stereng.

Mercedes-AMG GT R boleh anda miliki pada harga RM1,712,888 dan AMG GT C pada harga RM1,558,888.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here