Honda RS150 V2 dah tiba di Malaysia? Ini rupa dan spesifikasinya

24559

Seperti yang dinanti-nanti, Honda RS150 V2 atau versi facelift telah dilaporkan akan tiba di Malaysia akhir tahun ini dan beberapa hari sahaja lagi menjelang tahun baharu, imej RS150 V2 telah mula tular di media sosial.

Ia belum dilancarkan secara rasmi, tetapi sumber kami mengesahkan bahawa unit untuk pasaran Malaysia telah pun tiba di bilik-bilik pameran dan sudah boleh ditempah.



Ya, kalau anda bosan dengan Yamaha Y-suku dan inginkan kelainan dalam segmen kapcai 150cc, jentera ini paling sesuai untuk anda.

Sama dengan Honda Winner 150X di Vietnam?

Jawapannya, tidak, sayang sekali. Hanya kelihatan beberapa penambahbaikan kecil sahaja pada RS150 kita.

Sebaliknya, unit pasaran Malaysia lebih sama dengan Honda Supra GTR di pasaran Indonesia.

Antara perubahan utama pada V2 ialah lampu belok (signal) belakang yang kini tidak lagi berintegrasi dengan lampu brek seperti sebelumnya.

Lampu brek kini mempunyai perumah khas berasingan manakala lampu belok dipasang pada pemegang melintang.

RS150 V2 ini juga kini menerima paparan meter digital sepenuhnya, menggantikan paparan analog. Ia kini setanding dengan Y15ZR untuk bahagian ini.

Kit badan Winner X

Untuk “mengubati” ketiadaan spesifikasi Winner X di Malaysia, kelihatan juga kit-kit badan (cover set) Winner X sudah mula dijual di media sosial.

Namun, ini semua terpulang kepada anda.

Honda RS150 V2 akan dipacu oleh enjin sama pada sebelum ini, dengan enjin 149cc DOHC PGM-FI bersama transmisi manual 6-kelajuan.

Enjin ini menghasilkan 15.4hp pada 9,000rpm dan 13.5Nm tork pada 6,500rpm.

Untuk pelancaran dan harga rasmi, tiada maklumat lanjut buat masa ini. Tetapi kami akan maklumkan sebaik sahaja kami mendapat berita.

Kredit gambar: Fizi SP dan Zack Part dari Facebook

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here