Mitsubishi Triton 2019 dilancar – dari RM100k, 2.4-liter MIVEC dan 6AT

4942

Mitsubishi Triton 2019 telah dilancar oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini. Dengan 5 varian ditawarkan, harga untuk Triton 2019 adalah dari RM100,200 hingga RM135,200 atas jalan tanpa insurans.

Triton 2019 yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand menggunakan pelantar sama dari Triton sebelum ini, tetapi ia menerima pembaharuan luar dan dalam yang lebih dari sekadar facelift.



Senarai varian dan harga:

Triton VGT MT: RM100,200

Triton VGT AT: RM105,900

Triton VGT MT Premium: RM112,500

Triton VGT AT Premium: RM118,600

Triton VGT Adventure X: RM135,200

Enjin dan transmisi

Nadi Triton 2019 ialah enjin 2.4-liter MIVEC turbodiesel dengan output 181 PS dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Enjin blok aloi aluminium dengan VGT (turbo geometri boleh-ubah) ini dipadankan dengan transmisi baharu iaitu automatik 6-kelajuan (automatik 5-kelajuan pada model sebelumnya). Terdapat juga pilihan manual 6-kelajuan.

Juga baharu ialah sistem Super Select 4WD II pada varian tertinggi Adventure X. Ia memberikan pilihan mod pemanduan off-road seperti kerikil, lumpur, pasir dan batu. Mod-mod ini akan melaras kuasa enjin, transmisi dan brek untuk meyesuaikan pada permukaan berbeza.

Super Select 4WD II ini juga boleh dipilih antara 2WD (2H) dan 4WD (4H, 4HLc) yang boleh dilakukan semasa bergerak sehingga kelajuan 100 km/j.

Luaran

Pembaharuan di bahagian luaran agak besar dan menyeluruh. Triton 2019 menggunakan ‘muka’ Dynamic Shield yang mempunyai lampu depan nipis di atas kluster lampu kabus dan signal yang besar. Ia memberikan ‘muka’ yang lebar dan bersegi pada Triton. Di tengahnya terdapat gril krom yang juga dilihat pada MPV Xpander.

Di bahagian tepi, masih ada garisan-J yang menjadi identiti Triton. Gerbang roda pula kini bersegi berbanding membulat seperti sebelumnya. Lampu belakang Triton 2019 adalah LED yang bersegi juga, sama seperti elemen rekaan depan dan tepi.

Triton 2019 dilengkapi dengan roda 17-inci untuk semua varian, kecuali Adventure X yang mendapat roda 18-inci. Tetapi rekaan roda-roda ini hampir serupa. Roda ini juga boleh didapati dengan empat pilihan warna.

Dalaman

Pembaharuan turut dilakukan di bahagian dalam walaupun lebih minor. Konsol tengah dan coorng pendingin hawa telah direka semula. Selain itu, terdapat pelapik lembut di antara tempat duduk depan untuk anda merehatkan tangan.

Di belakang konsol ini terdapatnya corong pendingin hawa belakang dengan ruang simpanan dan port USB.

Keselamatan

Mitsubishi Triton 2019 dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini seperti Forward Collision Mitigation (FCM), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist (BSW dengan LCA), Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System, Hill-Descent Control dan 7 beg udara pada Adventure X.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here