Tiada undang-undang khusus untuk laksana tindakan kepada penjual nombor plat fancy – Ketua Pengarah JPJ

5693

Bagi rekod tempoh lima tahun lalu sejak 2016 sehingga Mei 2020, sebanyak 111,203 notis membabitkan kesalahan nombor pendaftaran fancy dikeluarkan.

Nombor pendaftaran fancy ialah manipulasi huruf dan nombor yang disusun tidak mengikut spesifikasi sehingga menimbulkan interpretasi menjadi perkataan tertentu.

Anda pasti biasa terjumpa nombor pendaftaran seperti 8055, 9191, MAC41 dan lain-lain.



Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata: “Pembentukan perkataan ini menjadikan nombor pendaftaran itu membawa makna tertentu dan faktor itu yang mendorong menjadi tarikan bagi pihak tertentu untuk menjadikan ia fancy.

“Namun, ia pada masa sama mengelirukan bagi pihak lain termasuk pihak berkuasa untuk membacanya kerana bentuk huruf mahupun nombor sudah diubah suai.

“Malah, pengubahsuaian itu juga boleh menyukarkan pihak berkuasa mengesan nombor pendaftaran kenderaan sekiranya ia digunakan untuk kegiatan jenayah jika nombor dan huruf pada plat terlalu kecil,” terangnya.

Menurutnya lagi, dari tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, sebanyak 17,138 notis membabitkan kesalahan nombor pendaftaran dikeluarkan.

Katanya, jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi dan dijangka meningkat berbanding 18,937 notis direkodkan sepanjang tahun lalu bagi kesalahan berkenaan.

“Untuk kesalahan ini, pihak JPJ akan mengeluarkan notis arah periksa kenderaan serta notis PG 1 iaitu keterangan berhubung kesalahan teknikal yang dilakukan.

“Pemandu atau pemilik perlu membawa kenderaan mereka ke mana-mana cawangan JPJ untuk pemeriksaan selepas menukar nombor pendaftaran yang mengikut spesifikasi ditetapkan selain notis saman (JPJ P22) juga boleh dikenakan.

Jadi, dengan adanya semua kesalahan ini, sudah tentu ianya dihasilkan oleh penjual atau pengusaha kedai aksesori kereta, bukan? Jadi, bagaimana dengan pihak ini?

Menurutnya, setakat ini, tiada peruntukan undang-undang khusus bagi pihak JPJ melaksanakan tindakan terhadap mana-mana kedai yang membuat perkhidmatan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

“Bagaimanapun, perkara ini adalah menjadi tanggungjawab kepada pemandu dan pemilik kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

“Berikutan itu, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi kesalahan ini akan dikenakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan mengikut Kaedah 6, Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959 selain boleh dikompaun maksimum RM300,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang melihat kenderaan menggunakan nombor kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan mengelirukan untuk membuat aduan kepada pihak JPJ.

“Orang awam hanya perlu menangkap gambar kenderaan terbabit berserta nombor pendaftarannya dan hantar ke e-mel aduan JPJ, aduantrafik@jpj.gov.my.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here