MIROS bangunkan teknologi LIDAR bantu elak kemalangan libatkan motosikal

1434

Penunggang motosikal di negara ini dijangka boleh mengurangkan risiko kemalangan melalui teknologi amaran perlanggaran yang dibangunkan Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

gambar hiasan

Menurut Ketua Pengarah MIROS, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, teknologi Pengesanan dan Perluasan Cahaya (LIDAR) membolehkan penunggang menyedari kehadiran kenderaan di hadapan, sekali gus dapat mengelak perlanggaran secara selamat, termasuk pada kelajuan tinggi.

Katanya, LIDAR adalah komponen utama Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang digunakan secara meluas dalam reka bentuk kenderaan beroda empat.



“Motosikal adalah mod pengangkutan yang sangat berisiko, malah perlanggaran antara penunggang motosikal dan kenderaan lain di lorong kecemasan masih berada di tahap membimbangkan,” kata Khairil Anwar.

MIROS

“Antara cara boleh digunakan untuk mengurangkan risiko perlanggaran ialah memastikan penunggang dapat mengesan kenderaan lain dalam masa mencukupi bagi mengelak daripada berlaku perlanggaran.

“Kemajuan penyelidikan MIROS dalam teknologi ADAS untuk penunggang motosikal adalah pencapaian memberangsangkan kerana pengaplikasian teknologi ini terhad dan tidak meluas digunakan dalam reka bentuk dan pembuatan motosikal,” tambahnya.

Pada masa sama, Khairil Anwar berkata, teknologi amaran ini dibangunkan dengan mengambil kira faktor berlaku perlanggaran membabitkan motosikal di lorong kecemasan melalui dapatan analisis kes kemalangan terdahulu.

MIROS

Selain itu, katanya, faktor kesesuaian reka bentuk motosikal dan tingkah laku penunggang di Malaysia turut diambil kira untuk meningkatkan fungsi sistem dan mengurangkan penolakan golongan sasar dalam menggunakan teknologi itu.

“Prinsip utama reka bentuk teknologi ini ialah berimpak tinggi, kos yang rendah, berasaskan pengguna dan mudah dipasang melalui reka bentuk naik taraf.

“Amaran perlanggaran diberi melalui tiga peringkat dan menekankan keupayaan untuk memastikan penunggang menyedari tepat pada masanya mengenai bahaya yang akan berlaku,” lanjut Khairil Anwar.

Beliau berkata, pendekatan reka bentuk yang digunakan diyakini dapat meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehsediaan teknologi itu untuk digunakan secara meluas dalam kalangan penunggang motosikal di negara ini.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here