Drako GTE – Tork 8,800Nm, biar betul!

707

Semakin lama, semakin banyak pengeluar kereta elektrik muncul dengan produk terbaru masing-masing. 

Model dipaparkan ini dikenali sebagai GTE dan ia dibangunkan oleh Drako Motors, sebuah syarikat berpangkalan di California yang diasaskan oleh Dean Drako dan Shiv Sikand.



Apa yang menjadikan GTE lebih istimewa berbanding pesaingnya lain? Dari segi mekanikal, model ini mempunyai ‘nadi’ yang merangkumi empat motor elektrik iaitu satu untuk setiap roda.

Lebih mengagumkan lagi, keempat-empat motor elektrik itu mampu menjana kuasa keseluruhan yang tinggi iaitu 1,200hp dan tork mencecah 8,800Nm.

Drako Motors tidak mendedahkan masa pecutan 0-100km/j, namun menyatakan bahawa produknya ini mampu memecut sehingga 332km/j.

GTE juga dilengkapi dengan ciri pemvektoran tork yang mampu mengira jumlah tork positif dan negatif yang diperlukan oleh setiap roda lebih seribu kali sesaat. Ini bukan sahaja memberikan GTE kelebihan semasa memecut dalam garisan lurus, malah membuatkan ia lebih lincah di selekoh.

Untuk prestasi pemanduan optimum, pemandu boleh menggunakan ciri Quattro Manettino yang memberikan akses kepada aspek pemvektoran tork, kawalan gelincir, pembahagian kuasa antara gandar hadapan dan belakang serta sistem brek regeneratif. Turut disediakan adalah mod pemanduan Race, Track, Dry, Rain, Snow dan Ice.

Tenaga bagi kesemua motor elektrik dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 90kWh. Menurut Drako Motors, GTE dilengkapi dengan sistem pengecas 15kW yang menjadikannya sesuai dengan infrastruktur pengecasan EV sedia ada.

Ia juga boleh menggunakan sistem pengecasan pantas Chademo atau CCS (Combined Charging System) dengan kapasiti sehingga 150kW.

Apa yang penting, GTE bukanlah sekadar model konsep untuk pameran di acara-acara tertentu. Drako Motors mengesahkan bahawa ia akan menghasilkan 25 unit GTE dengan harga bermula $1.25 juta (RM5.2 juta).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here