Ciptaan pelik Mazda yang pernah hasil bagasi dua lejang

1593

Mazda adakala memperkenalkan inovasi cara tersendiri dan menyimpang keluar norma-norma yang didokong pengeluar automotif lain.

Antaranya ialah mula menjual kereta jenis roadster pada ketika zaman semasa orang ramai mula meninggalkan pilihan reka bentuk kereta seperti itu.

Pada era moden pula, Mazda menawarkan enjin petrol yang menggunakan palam pencucuh dan nyalaan pemampat seperti dalam trenkuasa diesel pada kereta Mazda3 SkyActiv X.



Jika merasakan inovasi itu sebagai pelik, maknanya anda belum melihat beg atau bagasi jenama Mazda yang pernah jadi sebutan tahun 1990-an.

Ini bukan bagasi untuk isi pakaian tetapi bagasi yang boleh tukar jadi kenderaan roda tiga. Sehingga kini, dikhabarkan bahawa bagasi ini tidak diberi nama dan cuma dikenali sebagai ‘bagasi kereta’ atau suitcase car.

Bagasi pelik ini dicipta tujuh jurutera Mazda daripada unit penyelidikan dan ujian transmisi manual. Katanya, bagasi ini adalah hasil ciptaan menerusi satu pertandingan dalaman syarikat untuk mencari idea kreatif terbaik bagi mobilisasi.

Kisahnya bermula apabila kumpulan jurutera ini diberi sedikit wang untuk menghasilkan ciptaan mereka. Mereka menghasilkan produk akhir ini yang agak menarik dengan menggunakan sebuah motosikal poket bike dan beg pakaian jenama Samsonite berukuran 57 sentimeter (sm) x 75 sm.

Masa yang diperlukan untuk menyiapkan motosikal tiga roda ini dikatakan kira-kira satu minit. Mungkin ini untuk mereka yang sudah biasa untuk kaki pasang lerai.

Motosikal tiga roda ini menggunakan enjin dua lejang berkapasiti 34sm padu (0.034 liter) dan ia boleh menjana kuasa kuda sebanyak 1.7 bhp. Kelajuan yang boleh dicapai ialah 30 kilometer sejam.

Bagasi ini dikatakan meminjam gaya dan DNA Mazda iaitu pusat graviti rendah seperti model roadster popular MX-5. Ia juga ada tiga roda sama seperti Mazda-Go yang dilancarkan pada 1931.

Malangnya, bagasi bergerak ini tidak menemui barisan pengeluaran kerana ia sebenarnya tidak praktikal. Bayangkan anda terpaksa mengheret satu beg seberat 32 kilogram! Itu belum ambil kira beg pakaian lain semasa bercuti.

Walaupun begitu, bagasi ini menjadi satu pengiklanan bergerak untuk Mazda. Ada dua bagasi bermotor seperti ini dibina untuk Amerika Syarikat dan Eropah. Beg versi Eropah ini ada dipertontonkan pada Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt tahun 1991.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here