PROTON menangani isu kekurangan alat ganti – Pengedar perlu simpan stok tiga bulan untuk 22 alat ganti permintaan tinggi

1331

Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dan meningkatkan pertumbuhan jualan, PROTON akan terus meluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatannya. 

Cawangan 3S/4S yang ke-147 dibuka secara rasmi di Alor Setar baru-baru ini dan merupakan cawangan ke-10 untuk EON. Ia juga merupakan kemudahan Bilik Pameran Platinum PROTON yang kelima di negara dan ditempatkan di lokasi ikonik Alor Setar, Souq Albukhary. 

Dengan mempunyai bilangan cawangan 3S/4S yang tertinggi dalam industri, Syarikat juga mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggannya. 



Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, PROTON menyedari isu yang dihadapi berkaitan selepas jualan dan ketersediaan alat ganti.

“Pelanggan sudah menghubungi kami dan kami amat menyesali sebarang kesulitan yang berlaku.

“Saya ingin menegaskan bahawa kami mengambil serius setiap aduan yang diterima dan pihak pengurusan telah mengenalpasti beberapa kekurangan dan isu operasi yang memerlukan pembaikan,” katanya.

Menurutnya, langkah pertama adalah menangani ketersediaan alat ganti dan pihaknya melaksanakan peraturan mandatori di mana semua pengedar dikehendaki memegang stok tiga bulan untuk 22 alat ganti permintaan tinggi.

Katanya, pusat alat ganti tertakluk kepada peraturan yang sama, dan berharap ia akan mengurangkan masa menunggu pelanggan.

“Kami juga memperkukuhkan keupayaan dan pengetahuan pengedar untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada semua pelanggan PROTON.

Masih banyak lagi yang perlu dilakukan tetapi kami akan memaklumkan perkembangan kami sepanjang tahun ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here