
Seorang juruteknik teknologi maklumat melakukan pengembaraan solo hingga ke utara Thailand sejauh 5,500km dengan hanya menunggang Honda lampu bulat.
Muhammad Nazarudin Radzi, 35, memulakan kembara selama 14 hari menunggang Honda C86 berusia 45 tahun itu pada pertengahan September lalu.
Nazarudin memulakan perjalanan dari Kajang, Selangor lalu memasuki Thailand melalui Bukit Kayu Hitam di Kedah, dan singgah di beberapa lokasi sepanjang kembara, antaranya Hat Yai, Chumphon, Kanchanaburi, Mea Sariang, Bangkok, Uttaradit, Prachuap Khiri Khan dan Mae Sai serta Golden Triangle atau kawasan Segi Tiga Emas (sempadan Thailand, Myanmar dan Laos).
Pemuda itu berkata sudah lama memasang impian menunggang motosikal ke Thailand selepas beberapa kali menyertai konvoi motosikal dalam negara, termasuk bermotosikal mengelilingi Semenanjung Malaysia.
“Saya suka ride dan berkonvoi dengan kawan-kawan. Apabila sudah berjaya mengelilingi Semenanjung, saya mahu cuba merentasi sempadan pula.
“Rasa itu semakin kuat apabila mendengar atau membaca pengalaman rider Malaysia yang mengembara ke sana,” katanya.
Mengakui berasa bangga apabila berjaya merealisasikan impian itu hanya dengan menunggang motosikal berkuasa rendah, Muhammad Nazarudin berkata secara purata, dia menunggang sejauh 400km sehari dengan kelajuan 70 hingga 80kmj.
“Sepanjang perjalanan, saya bersyukur tidak berdepan kesukaran dan motosikal juga tidak mengalami apa-apa masalah mekanikal termasuk tiada tayar bocor.
“Mungkin kerana persiapan rapi yang dibuat termasuk melakukan overhaul sebelum memulakan kembara,” katanya.
Bercerita tentang motosikal itu, bapa kepada empat anak tersebut berkata Honda Cub berkenaan dibeli daripada rakan ayahnya kira-kira lapan tahun lalu pada harga RM600.
“Pada masa itu, keadaan motosikal agak teruk dan tidak salah jika ada yang menganggapnya motosikal buruk kerana penuh dengan karat, sementara enjin pula tidak boleh dihidupkan sebab sudah lebih tiga tahun tidak digunakan.
“Saya mulakan (kerja membaiki) dengan menukar beberapa bahagian termasuk enjin dan rim bagi membolehkan motosikal ini bergerak. Selepas kembali dapat digunakan, barulah saya ubah suai lagi untuk disesuaikan dengan perjalanan jarak jauh,” katanya.