
Lotus mempunyai sejumlah pelumba legenda seperti Graham Hill, Jim Clark, Graham Hill, Jim Clark, Jochen Rindt, Emerson Fittipaldi, Ronnie Peterson, Nigel Mansell dan Ayrton Senna.
Pemandu era Lotus F1 juga mempunyai persona tersendiri, tidak lain dan tidak bukan, Kimi Räikkönen.
Kejayaan bersama pemandu yang berjasa tidak dilupakan begitu sahaja dan dipamerkan melalui Lotus Emira Clark Edition.
Projek ini hasil kerjasama dengan Jim Clark Trust dan terhad kepada 60 unit untuk pasaran terpilih.
Legasi Jim Clark dan Team Lotus terpahat kukuh dalam sejarah sukan permotoran.
Pada tahun 1965, Clark memenangi Kejohanan Dunia Formula 1 bersama Team Lotus dan turut muncul juara dalam perlumbaan ikonik Indianapolis 500.
Kejayaan berganda tersebut masih belum dapat ditandingi hingga ke hari ini.
Pada tahun yang sama, Clark terus membuktikan bakat luar biasanya dengan kejayaan kejuaraan dalam Formula 2, Siri Tasman di Australia dan New Zealand, serta kemenangan dalam perlumbaan kereta touring menggunakan Lotus Cortina.
Kisah kejayaan yang hebat ini menjadi inspirasi kepada penghasilan Lotus Emira Clark Edition.
Ini satu penghormatan yang selayaknya buat pemandu yang pencapaiannya terus menjadi lambang kecemerlangan dan inovasi dalam dunia perlumbaan.
Badan Emira edisi khas ini disiapkan dengan warna Clark Racing Green, dipadankan bumbung hitam, cermin sisi perak, serta jalur kuning perlumbaan ikonik yang menyerlah di bahagian hadapan.
Gayaan ini diinspirasikan daripada Lotus Type 38 yang membantu Jim Clark menang di Indianapolis 500 pada tahun 1965.
Penutup tangki bahan api diperbuat daripada aluminium dengan tengah anod biru. Muncung ekzos berwarna kuning menambah gaya tersendiri.
Jalur kuning halus dicat dengan tangan sepanjang sisi badan dan selari mengikut garisan rekaan asal Emira. Logo Clark Edition pada pintu diambil daripada grafik perlumbaan Jim Clark.
Bahagian dalam menggunakan tema perlumbaan tahun 60-an. Kerusi pemandu dibalut kulit dan Alcantara® merah, manakala kerusi penumpang pula berwarna hitam.
Reka bentuk dua warna ini diinspirasikan daripada jentera lumba Lotus yang dipandu Clark pada tahun 1965.
Emira Clark Edition turut dilengkapi tombol gear kayu gaya 60-an dan lencana peringatan khas Jim Clark yang memaparkan corak tartan peribadinya dari Lochcarron, Scotland.
Ciri khas lain termasuk tandatangan Jim Clark pada papan pemuka dan perincian Team Lotus pada tempat duduk.
Setiap unit Emira Clark Edition dilengkapi plat gentian karbon bernombor (1 daripada 60) dan menambah lagi nilai eksklusif edisi terhad ini.
Pembeli juga akan menerima beg kulit buatan tangan yang disesuaikan dengan perincian khas Clark Edition.
Emira Clark Edition diasaskan daripada model Lotus Emira V6 dengan enjin 3.5 liter supercaj 400 kuasa kuda (hp).
Enjin dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan dan diferensial gelincir-terhad.
Emira V6 menawarkan pengalaman pemanduan tulen dengan stereng hidraulik yang memberikan rasa langsung serta pakej Lotus Driver yang merangkumi suspensi berprestasi, Mod Litar, dan bunyi ekzos yang diubah suai.
Lotus Emira Clark Edition ditawarkan pada harga £115,000 (RM652,671).