
ARIIC Malaysia rasmi memperkenalkan model skuter terbaharu yang dikenali sebagai ARIIC 318GT ke pasaran tempatan pada harga cadangan RM22,888 seunit.
Didatangkan dengan tiga pilihan warna badan iaitu Matt Black, Dark Grey dan Matt Grey, 318GT kini boleh didapati di semua pusat jualan sah Mforce seluruh Malaysia.
Skuter tersebut menggunakan enjin 330cc silinder tunggal SOHC yang menghasilkan kuasa maksimum 20.6kW @ 7,000rpm dan tork 30.8Nm @ 5,500rpm bersama transmisi CVT.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan klac jenis sentrifugal kering bagi memberikan kawalan kuasa yang efisien secara automatik sepanjang tunggangan.
Berikut ciri peralatan yang ditawarkan pada ARIIC 318GT :
- Lampu depan LED dengan rekaan ‘V’ dan lampu belakang bergaya berbentuk jalur lalu digandingkan bersama lampu signal dan kecemasan.
- Sistem paparan speedometer TFT berwarna penuh memaparkan kelajuan sebenar, tekanan angin tayar (TPMS) serta statistik tunggangan.
- Dengan dimensi 2,215mm panjang, 780mm (lebar) dan 1,395mm (tinggi) serta jarak roda (1,540mm), 318GT menawarkan kestabilan dan ruang tunggangan yang luas.
- Berat keringnya 208kg digabungkan dengan ketinggian pelana 790mm serta saiz tangki minyak 16 liter.
- Keselesaan tunggangan diserahkan kepada sistem suspensi depan dan belakang menggunakan penyerap hentak berkembar.
- Keupayaan memperlahankan mahupun menghentikan skuter dipertanggungjawab kepada cakera brek berganda dengan saiz 260mm (depan) dan cakera tunggal 240mm (belakang).
- Turut tersedia Sistem Brek Anti Kunci (ABS) BOSCH dwi-saluran untuk keselamatan maksimum.
- Saiz tayar depan adalah 120/70-14 dan belakang (150/70-13), kedua-duanya jenis CST dan tanpa tiub.
- Ciri peralatan standard antaranya ruang simpanan depan kiri dengan fungsi slot pengecasan USB (jenis A & C), ruang simpanan depan tengah, visor angin dengan pelarasan elektronik dan sistem kunci pintar PKE.
- Ruang simpanan bawah pelana dengan sokongan hidraulik lengkap dengan lampu, boleh memuatkan sebiji topi keledar muka penuh dan topi keledar separuh muka.
- Terdapat juga fungsi kamera depan (dashcam) yang membantu merakam perjalanan
seterusnya meningkatkan keyakinan dan keselamatan pengguna skuter. - Beberapa ciri premium turut dimuatkan termasuk brek tangan dengan tuas boleh laras,
perehat kaki dengan material jenis aluminium boleh lipat serta pemegang belakang.
Dengan setiap pembelian ARIIC 318GT didatangkan dengan jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti asli atas talian oleh Mforce Bike Holdings.