Kerajaan perlu tangguh pelaksanaan penyasaran RON95 & kenaikan tarif elektrik

40

Kerajaan disaran agar menangguhkan rancangan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada industri tempatan menstabilkan semula operasi.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berpandangan, ekonomi global ketika ini sedang mengalami gangguan rantaian bekalan yang dijangka berlarutan tiga hingga enam bulan lagi.

Menurut ahli Parlimen daripada PKR itu, sebarang tindakan menaikkan kos operasi syarikat akan menambahkan tekanan kepada sektor perniagaan yang sedang berdepan ketidaktentuan pasaran.

“Namun, secara asasnya kita akan melihat kelembapan dalam pengeluaran. Jadi, mungkin kita boleh mempertimbangkan idea untuk menaikkan harga minyak secara berperingkat.

“Mungkin berhenti dahulu, jangan tambah tekanan kepada industri, beri mereka peluang untuk bernafas.

“Kalau kita nak naikkan tarif elektrik, orang kata pada Julai, mungkin alihkan (tangguhkan) ke September, tengok dulu dan jangan panik,” katanya.

PELAKSANAAN TENGAH TAHUN INI

Kerajaan sebelum ini melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa 10 Jun 2024.

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ialah RM2.15 sebelum naik kepada RM3.35 seliter selepas tiada subsidi dan harga diapungkan.

Kerajaan seterusnya merancang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini. Buat masa ini, harga subsidi RON95 ialah RM2.05 seliter.

Bagi elektrik pula, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan kadar tarif asas dinaikkan daripada 39.95 sen/kWj kepada 45.62 sen/kWj berkuatkuasa mulai 1 Julai depan.

Namun kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan tersebut dan masih dalam proses semakan serta kajian. ​

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan dengan sebarang perubahan kadar tarif elektrik kerana melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here