Wanita di Malta kongsi beli Perodua Kelisa, harga lagi murah dari Malaysia

28

Pengguna Facebook Claudine Alcock berkongsi membeli Perodua Kelisa keluaran tahun 2005 seminggu yang lalu, pada harga EUR700 (RM3,363).

Hantarannya dalam grup Facebook ‘Kelisa Owners’ itu mendapat sambutan positif, terutamanya daripada ahli-ahli Malaysia yang turut berkongsi nostalgia dan pengalaman memiliki model kompak popular tersebut.

Claudine tertarik dengan Kelisa atas beberapa sebab utama. Dia menyukai saiznya yang kompak menjadikannya mudah untuk bergerak dan diparkir serta tempat duduk yang selesa.

Wanita itu turut berkongsi senarai kereta yang pernah dimilikinya, antaranya Ford Escorts Mk 3 yang merupakan kereta pertama diikuti Hyundai Excel, Kia Picanto (2005-2025), Peugeot 305, Kia Picanto (2021) dan Chevrolet Spark (2014).

Chevy Spark yang dimiliki oleh Claudine

“Kini tiba giliran Kelisa pula dan buat masa ini saya memiliki tiga buah kereta.

“Saya suka rekaan Chevrolet Spark lepas tu Kia paling bagus. Tapi saya rasa kereta Asian ni lagi bagus dari kereta Eropah. 

“Seat dia selesa sangat, bentuk dia pun saya suka, macam-macam lagilah. Overall, saya memang happy sangat dengan Kelisa ni,” katanya.

Walaupun pada mulanya dia tidak begitu berminat dengan rupa bentuk Kelisa itu, Claudine yakin akan terbiasa dengan bentuk kereta kompak itu nanti.

Kelisa yang dibelinya mempunyai perbatuan 134,380km. Terdapat sedikit kemek di bahagian depan, namun ia bukanlah isu besar dan akan dibaik pulih kemudian.

TIADA MASALAH CARI ALAT GANTI

Menariknya, walaupun sudah seminggu memiliki Kelisa, Claudine memberitahu bahawa beliau tidak pernah melihat model ini di Malta sebelum ini.

“Saya tak pernah perasan pun Kelisa kat sini sebelum ni, pastu tak rasa ramai pun yang pakai.

“Tapi lepas dah beli, eh baru la perasan ada je yang pakai Kelisa, cuma tak ramai sangat. saya agak dalam tujuh buah je kot yang nampak, mostly warna silver,” tulisnya di bahagian komen.

Apabila ditanya mengenai ketersediaan alat ganti, Claudine memberitahu ia bukanlah isu besar.

Komponen Kelisa masih boleh didapati, sama ada melalui kedai atau Marketplace Facebook.

Jelasnya, dia turut mengetahui Kelisa merupakan model ‘rebadge’ Daihatsu dan merancang untuk melakukan kerja-kerja restorasi pada musim panas nanti, khususnya untuk membaiki bahagian-bahagian yang kemek.

Seorang pengguna Facebook lain dari Malta, Peter Camilleri turut meninggalkan komen bahawa Kelisa adalah model yang sangat sesuai untuk digunakan di Malta.

“Kereta ni tak bocor, kau boleh parking kat mana-mana je. Pastu kalau lipat seat belakang, macam kau ada van kecik. Paling penting, rajin-rajin la tukar minyak hitam, kalau tak jaga, minyak (petrol) dia kuat sikit makan,” nasihatnya. 

Sebagai perbandingan harga Perodua Kelisa di pasaran tempatan bermula daripada RM8,000 mengikut model dan tahun keluaran di samping restorasi yang telah dilakukan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here