Pandu uji: Kia Picanto GT Line – Aura K-Pop yang menyerlah

3346

Lihat saja pada Kia Picanto GT Line ini. Ia kecil tetapi ada unsur otot dan agresif padanya. Lampu depannya besar dan tajam, gril Tiger Nose yang menjadi identiti mendapat kemasan kontra merah – juga ditemui pada perumah kemasukan udara depan, skirt tepi dan bahagian bawah bampar belakang – dan rim 16-inci yang memang cun.

Adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, inilah dia Kia Picanto GT-Line: versi dipertingkat dan lebih menyerlah untuk Picanto EX.



Tengok saja pada kereta ni dah rasa tak sabar untuk memandunya. Model asas Kia Picanto EX sebuah kereta yang memang sudah sangat bagus dengan gaya pemanduan premium, kelengkapan keselamatan terbaik dan harga kompetitif.

Luaran

Tetapi Kia Picanto GT Line ini meningkatkan lagi segalanya, terutamanya dari segi penggayaan dan keselamatan.

Ia mula ditayangkan pada Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS18) tahun lepas, dan Picanto GT Line telah ditawarkan di pasaran Malaysia pada awal tahun ini.

Picanto GT Line dijual pada harga RM57,888 iaitu RM10k lebih dari Picanto EX. Jadi untuk itu, ia menerima penambahan seperti bampar dengan gril bawah lebih besar bersama lampu kabus, skirt tepi lebih agresif, diffuser belakang dengan hujung ekzos berkembar dan rim lebih besar (Picanto EX mendapat rim 14-inci).

Kelengkapan lain adalah sama seperti Picanto EX, iaitu lampu depan projektor automatik dengan LED DRL dan lampu belakang LED.

Dalaman

Di dalam pula, penambahan unik untuk GT Line ini adalah roda stereng dengan bahagian bawah rata, tempat duduk kulit dwi-tona, kluster instrumen Supervision, pendingin hawa automatik, cermin vanity bercahaya, cruise control dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Dan paling penting di bahagian keselamatan, Picanto GT Line menerima penambahan Autonomous Emergency Braking (AEB).

Ciri keselamatan lain adalah standard, iaitu enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Stability Control, Hill-Start Assist dan ISOFIX.

Rupa dalaman Picanto ini walaupun kecil, tetap cantik dan kita boleh rasakan perekabentuk dan juruteranya meletakkan usaha yang banyak pada kereta ini.

Oh ya, Picanto ini ada sunroof! Kereta lain dalam segmen-A dan B tiada.

Enjin dan prestasi

Sama dengan saiz ciliknya, enjin Picanto ini juga cilik, 1.2-liter Kappa II naturally-aspirated. Tetapi outputnya boleh tahan, 84hp dan 122Nm tork. Ingat, beratnya cuma 983kg, jadi pecutannya tidak lembap ya.

Transmisi pula adalah automatik 4-kelajuan, biasa-biasa sahaja.

Pemanduan

Menarik mengenai Picanto ini ialah – pada masa ini – ianya adalah lawan/alternatif yang ketara kepada pertarungan hatchback segmen-B antara Proton Iriz dan Perodua Myvi.

Walaupun saiznya lebih sesuai dibandingkan dengan Perodua Axia iaitu model segmen-A, harganya meletakkan Picanto dalam liga Myvi dan Iriz. Jadi dengan harga segmen-B tetapi saiz segmen-A, mengapa perlu beli Picanto ini?

Sebenarnya saiz satu-satunya perkara yang Picanto ini “kekurangan” berbanding dengan Myvi dan Iriz, tetapi dari segi lain seperti penggayaan, gaya perjalanan, kualiti binaan, keselamatan dan penggunaan bahan api, ia setaraf. Malah ada beberapa aspek ia lebih baik.

Bagi penulis, Picanto nampak sangat unik. Ia agak menarik perhatian apabila dipandu di kawasan ramai orang. Penulis juga sukakan gaya kemasan merah yang menyerlah pada badan Picanto ini.

Beberapa bahagian lain pula seperti lampu kabus depan, rim dan lampu belakang, benar-benar kelihatan seperti ia diambil dari kereta yang lebih besar. Nampak sungguh premium.

Sentimen premium ini dibawakan pula di bahagian dalam kabin. Anda boleh perhatikan roda sterengnya yang berkualiti dengan rongga pada kulit di bahagian tepi, papan pemuka berkontur serta unit hiburan dengan skrin sesentuh beresolusi tinggi.

Sudah tentu, kebanyakan permukaan adalah plastik keras. Kompromi harus dibuat kerana bahan-bahan ini memastikan kereta terus ringan. Apa pun, kabinnya sangat selesa. Segalanya terasa ketat dan berkualiti tinggi.

Seperti dikatakan awal tadi, Picanto EX sudahpun cukup mantap sebenarnya. Tetapi dengan GT Line ini yang mendapat rim 16-inci dan tayar berprofil rendah, terus mengubah karakter kereta ini.

Di kelajuan rendah, ianya lincah dan mempunyai stereng yang ringan. Sangat seronok dipandu. Ia membuatkan anda mencari alasan untuk membelikan barang dapur untuk orang rumah anda kerana pergi ke kedai runcit pun jadi satu pemanduan menyeronokkan.

Kemudian di kelajuan lebih tinggi, Picanto GT Line ini terus stabil dan sterengnya pula memberat sedikit, tetapi masih mempunyai rasa yang baik. Malah Picanto terasa lebih stabil dari Myvi yang lebih besar, dan setaraf dengan Iriz, iaitu raja untuk bahagian ini.

Tiada perubahan di bahagian suspensi atau penyerap hentak. Keseronokan dan kepuasan pemanduan ini dicapai dengan kombinasi rim dan tayar, serta pembinaan casis Advanced High Strength Steel (AHSS).

Oh ya, penumpang belakang tidak dilupakan. Tempat duduk belakang juga selesa walaupun ruang bukanlah begitu besar. Dan keseluruhan kabin sangat senyap di kelajuan lebuhraya, lebih senyap dari Iriz.

Tetapi anda akan mudah sedar akan kelajuan tinggi kerana rev enjin agak tinggi pada 110km/j, iaitu lebih dari 3,000rpm.

Ini kerana Picanto dilengkapi dengan transmisi 4-kelajuan, jadi ia agak terhad di aspek ini. Tetapi di situasi lain, ia lebih dari mencukupi. Pertukaran gear juga lancar.

Untuk praktikaliti, harus diakui Picanto bukanlah sebuah kereta yang besar. Tetapi jurutera dan perekabentuk kereta ini bijak memberikan praktikaliti yang dimanfaatkan dari ruang yang ada.

Kata akhir

Jadi, mengapa anda perlu pilih Kia Picanto GT Line berbanding Perodua Myvi atau Proton Iriz? Picanto ini boleh dikatakan kereta yang berjiwa muda sama ada dari segi saiz mahupun pakej.

Ia kereta bandar yang ideal, mudah digunakan dan menjimatkan bahan api.

Myvi mungkin mempunyai sistem bantuan pemandu yang lebih lengkap dan Iriz pula telah dikemaskini untuk mempunyai sistem infotainmen dengan arahan suara, tetapi Picanto masih mendapat autonomous emergency braking, enam beg udara dan unit hiburan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Jika anda jenis yang tidak kisah membayar lebih untuk mendapat kelainan dan tidak mahu menjadi sama seperti orang lain, maka Picanto adalah kereta untuk anda dalam segmen ini.

Cuma penulis rasakan pasti lebih menarik jika transmisi automatiknya mempunya 6 nisbah kelajuan, atau ia ditawarkan dengan pilihan manual di Malaysia, hm….

 

Spesifikasi Kia Picanto GT Line

Harga: RM59,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 1,48cc, 4-silinder, DOHC dengan DVVT
Kuasa maksima: 84 hp @ 6,000 rpm
Tork maksima: 122 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 4-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), torsion beam (belakang)
Berat: 983 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Stability Control, Hill-Start Assist dan ISOFIX.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here