
PROTON bakal membuat kemunculan eksklusif semula di Singapura dengan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama, Proton e.MAS 7 di The Car Expo 2025.
Menyusuri kejayaan sebagai EV terlaris di Malaysia untuk empat bulan berturut-turut, pelancaran ini juga menandakan kembali jenama Proton ke negara ini selepasl lebih satu dekad.
Kerjasama pengedar baharu
Kerjasama dengan pengedar rasmi baharu VINCAR Group, syarikat automotif Malaysia kembali menembusi pasaran eksport yang kini menduduki tempat kedua tertinggi di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita berdasarkan pariti kuasa beli.
Pada masa hadapan, VINCAR akan menerajui operasi barisan EV PROTON di bawah jenama e.MAS, menawarkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang direka untuk gaya hidup bandar yang sesuai untuk warga Singapura.
Proton kembali ke Singapura selepasl lebih satu dekad
Kepulangan PROTON ke Singapura berlaku pada waktu yang sesuai, sejajar dengan peralihan pantas negara tersebut ke arah mobiliti hijau. Pasaran EV di Singapura meningkat secara konsisten daripada 12% kepada 18% daripada jumlah keseluruhan industri automotif antara tahun 2022 hingga tahun 2023, dengan tujuan mencapai 55% menjelang tahun 2027.
Untuk pasaran Singapura, Proton e.MAS 7 segmen C akan ditawarkan dalam enam pilihan warna menarik: Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose, Lithium White dan Moyu Black.
Antara tarikan utama termasuk skrin sesentuh 15.4-inci 2.5K bersama Flyme Auto, cip kokpit pintar 7nm, pencahayaan LED penuh dan kabin luas berteknologi tinggi yang sesuai dengan kehidupan bandar.
Lihat juga video pandu uji:
Di Malaysia, lebih 6,000 tempahan telah diterima setakat ini, membuktikan semakin ramai rakyat Malaysia bersedia untuk beralih kepada EV keluaran tempatan.