Chery Tiggo 8 CHS PHEV bakal tiba di Malaysia – SUV 7 tempat duduk hibrid dengan jarak 1,300km

8

Chery semakin agresif dalam langkah elektrifikasi globalnya dan bukti terbaru ialah kemunculan Tiggo 8 CHS PHEV di Auto Shanghai 2025.



Jentera itu juga dikatakan akan menggantikan Tiggo 8 Pro sedia ada dengan versi PHEV untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Sudah semestinya, kehadiran kenderaan itu untuk pasaran tempatan adalah bertepatan kerana Tiggo 8 Pro sedia ada perlu menerima pembaharuan memandangkan ia sudah lama dilancarkan di Malaysia.

Jadi, apa kelebihan jentera ini sekiranya ia akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi? Ini ciri-ciri yang anda perlu tahu:

Enjin yang berkuasa

Dari segi rangkaian kuasa, Chery memperkenalkan teknologi baharu yang dipanggil Chery Hybrid System (CHS), dibina atas platform pintar DHT.

Sistem itu menggabungkan enjin 1.5L turbo generasi baharu dengan motor elektrik berprestasi tinggi yang dipadankan dengan transmisi DHT pintar dua kelajuan.

Dari segi kuasa, enjin sahaja mampu menyalurkan 154hp dengan tork setinggi 220Nm. Bagaimanapun, kuasa itu meningkat sehingga 201hp serta tork mencecah 310Nm dengan gabungan enjin dan motor elektrik.

Ia juga boleh memecut 0-100km/j dalam kira-kira 7 saat.

Jimat minyak dan pemanduan lebih jauh

Walaupun spesifikasi penuh masih belum didedahkan sepenuhnya, Chery mendakwa sistem baharu ini boleh dipandu sehingga 95km menggunakan tenaga elektrik sahaja.

Tahap penggunaan bahan api juga lebih rendah, mencatatkan kurang daripada 5.0L/100km, selain satu tangki boleh dipandu melebihi 1,300km.

Bentuk luaran lebih segar

Secara luaran, Tiggo 8 CHS membawa elemen rekaan yang lebih moden berbanding Tiggo 8 Pro. Gril hadapan tampil lebih menarik dan bersegi, manakala lampu utama lebih tirus dengan teknologi LED penuh.

Bahagian belakang juga menerima perubahan, terutama pada lampu utama dengan bar cahaya penuh yang menyambungkan lampu kiri dan kanan.

Kehadiran elemen biru elektrik pada logo dan jalur badan memberikan petanda jelas bahawa ini adalah sebuah model elektrifikasi.

SUV tujuh tempat duduk yang selesa

Masuk ke dalam, Tiggo 8 CHS mengekalkan konfigurasi 3 baris tempat duduk, tetapi diberi sentuhan lebih mewah.

Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat rata, menjadikan ruang kargo luas dan praktikal.

Pada masa sama, ia dipadankan dengan paparan infotainmen bersaiz 15.6 inci, skrin digital meter kluster 12.3 inci, serta panel kawalan iklim digital penuh.

Tiggo 8 CHS PHEV adalah lambang arah baharu Chery — ia bukan sekadar menawarkan SUV tujuh tempat duduk yang praktikal, tetapi juga lebih jimat bahan api, lebih berteknologi, dan lebih premium.

Enjin hibrid baharu dengan sistem DHT pintar ini mampu menjadi titik perubahan besar dalam pasaran SUV pertengahan di Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here