Pintu penumpang belakang terbuka, wanita maut tercampak ke jalan

121

Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori tangki selepas tercampak keluar dari kereta di KM26, Jalan Lukut–Sepang, Port Dickson, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun itu dipercayai tercampak keluar dari Perodua Myvi selepas pintu penumpang belakang di bahagian kanan terbuka secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata kejadian berlaku ketika Myvi yang dinaiki wanita berkenaan melalui selekoh lalu menyebabkan dia tercampak ke jalan bertentangan sebelum dilanggar lori tangki minyak jenis Volvo.

“Suami wanita yang juga pemandu berusia 34 tahun dan bayi, lima bulan yang berada di tempat duduk depan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Hasil semakan mendapati kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif.

Manakala hasil ujian saringan air kencing pemandu kereta juga negatif dadah. Pihak berkuasa telah mendapatkan rakaman papan pemuka lori tangki bagi membantu siasatan.

“Tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan pintu kenderaan sentiasa dikunci dengan selamat, terutamanya apabila membawa penumpang, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here