Kereta rosak teruk diserang gajah gara-gara bunyi hon

168

Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di KM11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.36 malam daripada pemandu berusia 38 tahun.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu dari arah Jeli ke Gerik telah ternampak sekumpulan gajah sedang melintas lalu memberhentikan kenderaan dan mematikan lampu.

“Namun, dia terdengar bunyi hon dari kenderaan di belakang dan secara tiba-tiba tiga ekor gajah menghampiri keretanya,” katanya.

Zulkifli berkata pemandu tersebut bertindak keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri sebelum membuat laporan polis selepas gajah berkenaan beredar.

Beliau berkata akibat kejadian itu, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan belakang serta di sisi kanan dan kiri, namun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here