
Pelumba muda Malaysia, Hakim Danish, 17 akhirnya menamatkan penantian selepas lima kali bergelar naib juara apabila meraih kemenangan dramatik dalam Perlumbaan 2 Pusingan ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Litar Motorland Aragon.
Dalam perlumbaan yang sengit itu, Danish mempamerkan skil luar biasa di pusingan dan selekoh terakhir untuk mengatasi pencabar utamanya, Brian Uriarte dan David González.
Sebanyak 12 jentera KTM bersaing merebut kemenangan di pusingan akhir perlumbaan dan Hakim berjaya menemukan kelebihan yang diperlukan untuk menempatkan dirinya di hadapan.
Pemenang perlumbaan Sabtu, pelumba Sepanyol Uriarte, 16 melintasi garisan penamat di belakang Hakim dan diikuti rapat oleh rakan senegaranya, González, 17.
Perbezaan masa antara Uriarte dan González hanyalah 0.007 saat, manakala Uriarte ketinggalan 0.188 saat di belakang Hakim. Ini menunjukkan betapa sengitnya persaingan, dengan kurang dari 1 saat memisahkan lapan pelumba teratas di garisan penamat.
“Akhirnya tempat pertama! Perlumbaan ini sungguh menakjubkan dan sukar kerana prestasi tayar kami menurun dengan sangat cepat.
“Saya cuba mengendalikan tayar dengan sangat baik. Kemudian di pusingan terakhir, saya cuba membuka terotel dengan sangat awal di selekoh terakhir, jadi saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.
“Saya perlu kerja keras untuk menang kerana pada pusingan kedua hingga akhir saya lakukan kesilapan dengan gear pada selekoh akhir dan kehilangan kedudukan.
“Saya terpaksa berjuang mati-matian, ‘potong tang corner’, pintas sesiapa saja di mana saja ada ruang. Jujur, tak tahu macam mana saya buat, tapi saya buat! Ini bukan cuma menang, ini kemenangan atas cabaran yang tak dijangka,” kongsi Hakim
Kemenangan ini bukan sahaja menandakan kejayaan peribadi yang besar untuk Hakim Danish tetapi juga menjadi inspirasi bagi peminat sukan permotoran di Malaysia.