Castrol umum kerjasama baharu dengan Honda dalam perlumbaan motosikal

82

Castrol umum perkembangan terbaru dalam portfolio perlumbaan motosikalnya dengan pelantikan penunggang baharu bagi pasukan CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING.

Mereka akan bakal bersaing dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia, serta permulaan kerjasama menarik dengan pasukan Honda Racing Corporation (HRC) Factory MotoGP. 

Inisiatif itu juga mengukuhkan lagi komitmen Castrol terhadap inovasi, prestasi, dan sokongan kepada bakat, sama ada di litar perlumbaan tempatan atau antarabangsa. 

Castrol akan menjadi penaja utama dan rakan teknikal pasukan Honda Racing Corporation (HRC) Factory MotoGP bagi musim MotoGP 2025. 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Castrol akan membekalkan pelincir dan bahan api, serta menyediakan sokongan teknikal kepada pasukan itu. 

Kerjasama berkenaan menandakan lembaran baharu dalam hubungan jangka panjang antara Castrol dan Honda, memperkukuhkan lagi komitmen bersama mereka terhadap kecemerlangan dalam sukan permotoran. 

Pasukan Honda HRC Castrol yang baru dinamakan itu sudah membuat penampilan sulung mereka semasa ujian pra musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 Februari 2025, dengan permulaan rasmi musim pada 2 Mac di Buriram, Thailand. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Castrol, Sandeep Sangwan berkata, Castrol mempunyai sejarah panjang dalam menggunakan sukan permotoran untuk mempamerkan keupayaan teknikal dan teknologi baharu yang dibangunkan bersama.

“Kerjasama ini merupakan peluang terbaik untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan para peminat perlumbaan motosikal dan peminat jentera dua roda di seluruh dunia,” katanya.

Di arena tempatan, CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING memperkenalkan barisan penunggang baharu mereka menjelang Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas MAM 2025, pada 19 dan 20 April di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), Selangor. 

Pasukan itu mengalu-alukan dua penambahan terbaru, iaitu Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin dan Aisy Izz Hafiy Hairul Hafiz, yang akan menyertai penunggang sedia ada Aqeel Danish Zaiermanhady untuk berentap dalam persaingan hebat kategori CP125.

Daripada pentas utama MotoGP hingga ke litar kebangsaan Malaysia, Castrol POWER1 terus menjadi pemacu kecemerlangan perlumbaan, menawarkan perlindungan enjin unggul, prestasi optimum, dan keyakinan setiap kali menunggang. 

Dengan jalinan kerjasama baharu global bersama Honda HRC dan pasukan lumba yang bersemangat tinggi, Castrol bersedia untuk menempa sejarah dalam sukan permotoran motosikal pada musim 2025. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here