Penguatkuasaan VEP : 10 pemandu Singapura disaman RM300

85

Sekurang-kurangnya 10 pemandu warga Singapura dikenakan denda RM300 dalam tempoh sejam pertama penguatkuasaan penuh sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula tengah malam tadi.

Penguatkuasaan tersebut menandakan tamatnya tempoh kelonggaran diberikan sejak keperluan VEP dikuatkuasakan secara rasmi pada Oktober tahun lalu.

Antara dikenakan denda berkenaan ialah Safir Farhan, 19, seorang pelajar warga Singapura yang sedang memandu ke Johor Bahru untuk makan malam bersama keluarganya.

Dia ditahan dan terpaksa membayar denda RM300 di van bergerak JPJ sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

“Saya memang sudah menjangkakan perkara ini, tetapi saya tidak sangka ia akan dikuatkuasakan dengan begitu tegas serta-merta,” katanya menambah sudah mendaftar untuk permit tersebut dan sedang menunggu penghantaran tag RFID.

Walaupun mempunyai bukti pendaftaran, Safir berkata dia memahami keperluan penguatkuasaan.

“Mereka hanya menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, aliran trafik perlahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar apabila 55 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula menahan kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing yang tidak mempunyai VEP sah dan telah diaktifkan.

PENGUATKUASAAN DIKENAKAN PADA PEMANDU TANPA TAG RFID 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penguatkuasaan akan dikenakan ke atas semua pemandu warga Singapura yang memandu kenderaan persendirian tanpa tag RFID yang didaftarkan dan dipasang, tanpa mengira tujuan kemasukan ke Malaysia.

“Tiada lagi alasan. Kami telah mengumumkan perkara ini sejak bertahun-tahun lalu dan memberikan masa yang mencukupi untuk mematuhi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan operasi penguatkuasaan tidak akan dijalankan di pintu masuk sempadan seperti di Tambak Johor dan Laluan Kedua bagi mengelakkan kesesakan, dengan denda hanya boleh dibayar melalui kaedah tanpa tunai termasuk di kaunter JPJ, unit bergerak JPJ dan menerusi platform MyEG.

Dalam minggu-minggu menjelang 1 Julai, permohonan daripada pemandu warga Singapura meningkat mendadak, terutama selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengulangi pada 4 Jun bahawa tempoh kelonggaran akan tamat bulan ini.

Barisan panjang kelihatan di pusat pendaftaran dan pemasangan VEP di Johor Bahru dan Singapura.

Pada 30 Jun, puluhan pemandu membanjiri pusat pertanyaan VEP TCSens di Danga Bay, yang kini beroperasi 24 jam sehari bagi memenuhi permintaan.

TCSens merupakan vendor yang dilantik untuk mengendalikan urusan VEP bagi pihak kerajaan Malaysia.

Seorang pemilik perniagaan warga Singapura, Jenny Chia, 53, berkata dia telah mendaftar sejak November lalu tetapi menghadapi masalah untuk melengkapkan proses diperlukan dan terpaksa menunggu lebih enam jam untuk mendapatkan bantuan pada 30 Jun.

Sementara itu, Aedy memaklumkan sehingga 29 Jun, sejumlah 248,504 kenderaan persendirian berdaftar di Singapura telah mendaftar untuk VEP, namun 17 peratus daripadanya belum mengaktifkan tag RFID. 

Beliau turut menambah 3,765 kenderaan perdagangan telah menerima tag RFID daripada 19,690 permohonan.

Program VEP pertama kali dicadangkan pada 2017 tetapi mengalami beberapa penangguhan, termasuk dihentikan pada tahun 2019 dan sekali lagi pada 2020.

Pelaksanaan sistem ini kini membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti kenderaan berdaftar asing, menjejak saman trafik yang belum dibayar, dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya tempatan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here