
Honda Racing Corporation (HRC) bakal melelong salah satu artifak paling ikonik dalam sejarah Formula 1 iaitu enjin Honda V10 terakhir yang dipacu legenda sukan permotoran, Ayrton Senna.
Enjin bernombor V805 dari siri RA100E pernah menggerakkan McLaren Honda MP4/5B dalam Kejuaraan Dunia Formula Satu FIA 1990.
Enjin ini dijangka menjadi tumpuan utama di lelongan Bonhams Quail di Carmel, California, pada 15 Ogos.
Enjin V805 pertama kali dipasang pada jentera McLaren-Honda MP4/5B Senna dan memainkan peranan dalam dua perlumbaan penting pada tahun 1990 iaitu Grand Prix Jepun dan Grand Prix Australia.
Di litar Suzuka yang pantas sejauh 5.86 kilometer (km), enjin ini telah menguasakan kereta Senna semasa sesi memanaskan badan.
Beliau berjaya merebut petak utama dan melengkapkan pusingan sejauh 29.3 kilometer. Meskipun Senna terlibat dalam perlanggaran awal dengan Alain Prost dari Ferrari, beliau akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia buat kali kedua.
Selepas Grand Prix Jepun yang dramatik, pasukan McLaren, Honda dan Senna menuju ke litar bandar Adelaide dengan jarak 3.77 km untuk Grand Prix Australia yang juga perlumbaan penutup musim.
Enjin RA100E-V805 sekali lagi dipasang pada kereta McLaren-Honda MP4/5B Senna, kali ini untuk perlumbaan.
Ini menjadikannya unit kuasa Honda V10 terakhir yang pernah dipandu oleh Senna dalam perlumbaan kompetitif.
Senna sekali lagi memulakan perlumbaan dari petak utama, diikuti oleh rakan sepasukan Gerhard Berger.
Dengan jeritan enjin Senna berjaya mendahului 61 daripada 80 pusingan. Walau bagaimanapun, masalah pemilihan gear menyebabkan kemalangan kecil.
Dalam perlumbaan terakhir ini, enjin V805 digunakan sejauh 302.4 kilometer.
Enjin Honda mendominasi Formula 1 selama enam tahun berturut-turut di antara 1986 dan 1991 bermula dengan jentera Williams dan kemudian McLaren.
Apabila enjin pengecas lampau (supercharge) diharamkan dari musim 1989, Honda beralih kepada pembekalan enjin V10 aspirasi semula jadi.
Pada era tersebut, kebiasaannya semua enjin F1 akan dihantar pulang ke Jepun selepas setiap penggunaan.
Di pusat R&D, enjin-enjin ini akan dibuka dan disiasat rapi oleh jurutera Honda untuk mengenal pasti masalah dan memperhalusi spesifikasi enjin generasi seterusnya.
Oleh kerana proses memasang semula enjin yang telah didiagnosis memakan masa, ia biasanya akan dilupuskan selepas analisis.
Ini punca begitu sedikit enjin Formula Satu bersejarah yang masih wujud hari ini. Namun, enjin V805 mempunyai cerita yang berbeza.
Memandangkan 1990 adalah tahun terakhir penggunaan enjin V10 dalam Formula 1 dan pembangunan enjin V12 untuk tahun berikutnya telah pun bermula, enjin V805 tidak lagi diperlukan untuk kajian lanjut.
Oleh itu, ia telah tersimpan dalam keadaan asal di gudang Honda untuk tempoh yang sangat lama sehinggalah ditemui semula pada tahun lepas.
Enjin yang telah dibuka dan disusun semula dengan teliti oleh mekanik mahir HRC, akan dilelong dalam bekas khas yang mengandungi semua komponen.
Pembeli juga akan menerima sijil keaslian asal dari HRC bagi mengesahkan ketulenan enjin tersebut.
Sumber: Honda, Bonhams Cars