
PT Aletra Mobil Nusantara (Aletra) rasmi melancarkan MPV elektrik Aletra L8 pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025.
Masihkah anda ingat, sebelum ini Proton berjanji untuk mengeluarkan pengganti Exora berdasarkan Geely Jiaji.
Bagaimanapun, projek itu dimansuhkan kerana pasaran tempatan beralih kepada segmen SUV. Proton sendiri kini lebih fokus pada SUV, dengan Proton X90 sebagai model tujuh tempat duduk mereka.
Jika projek berkenaan tidak dibatalkan, inilah versi Exora serba baharu yang bakal diterima oleh pengguna Malaysia.
Aletra merupakan sub jenama di bawah Geely dan MPV L8 berasaskan Geely Jiaji atau Livan 8.
Sebelumnya pasaran Indonesia sudahpun memasarkan Aletra L8 versi tujuh kerusi manakala tambahan varian baharu lapan kerusi didatangkan dengan pilihan kit badan AERO LINE yang lebih sporty.
Rekaan kit badan tersebut merupakan hasil kolaborasi dengan Musartwork by Musa Tjahjono, pereka automotif Indonesia, dan dipasang secara lokal oleh pasukan National Modificator & Aftermarket Association.
Ia menggunakan motor tunggal depan berkuasa 120kW dan tork 240Nm yang mana sedikit lebih tinggi berbanding pasaran China. Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 10.7 saat dengan kelajuan maksimum 160kmj.
Ia kemudian dipadankan dengan bateri LFP 65.74kWh yang menawarkan jarak pemanduan 540km (CLTC).
Bahagian luaran masih mirip Jiaji dengan lampu depan dan belakang jenis LED bersama rim 18-inci serta garis bumbung rendah di belakang.
Ciri peralatan yang ditawarkan dalam kabin termasuklah lampu ambien 72 warna, skrin hiburan resolusi tinggi bersaiz 12.4-inci, skrin TFT 7-inci, bumbung suria, tujuh pembesar suara, pengecas Qi 50 watt, slot USB jenis A & C, dan kerusi dengan kemasan kulit sintetik serta V2L.
Harga jualannya pula adalah IDR468 juta (RM126,360) seunit.