
Honda Prelude generasi baharu dijangka akan mula dijual pada tahun ini.
Biarpun coupe hibrid ini tidak akan dipadankan dengan lencana Type R, Honda sebenarnya menggunakan komponen sebenar daripada Civic Type R pada model ini.
Ianya bukanlah enjin K20, akan tetapi rekaan suspensi hadapan yang unik.
Menurut Honda, Prelude merupakan model bukan Type R yang pertama untuk menampilkan suspensi hadapan jenis dua paksi.
Rekaan unik yang memisahkan antara komponen knuckle dan peredam itu bertujuan untuk fleksibiliti paksi stereng yang lebih baik dan dalam masa yang sama mengurangkan kesan torque steer.
Selain itu, Prelude juga akan menggunakan angkup brek Brembo hadapan daripada Civic Type R, serta jarak trek roda depan dan belakang yang lebih lebar.
Honda sebelum ini mengesahkan model Prelude tidak akan menjadi model yang lebih sporti berbanding Civic Type R.
Namun, ia tetap menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan tanpa bergantung kepada kuasa yang berlebihan.
Berbicara tentang kuasa, Honda Prelude (2026) akan meminjam enjin hibrid 2.0 liter daripada Civic e:HEV, dengan kuasa sekitar 200 hp dan 315 Nm.