Honda Prelude Type R bakal muncul?

9

Honda dilapor akan melancarkan model generasi baharu Prelude untuk pasaran Amerika, Eropah, dan Jepun pada tahun ini.

Namun dalam laporan terbaharu oleh media Jepun Goo-net, pengeluar itu dijangka akan melancarkan Prelude Type S yang lebih sporti pada tahun 2026, diikuti versi Type R yang lebih agresif pada tahun 2027.

Berdasarkan laporan awal, Prelude Type R akan mewarisi enjin 2.0L turbo yang wujud pada Civic Type R FL5.

Namun, disebabkan peraturan emisi yang lebih ketat, Honda dijangka akan memperkenalkan nadi e:HEV dua motor elektrik dengan talaan yang lebih berkuasa untuk Prelude Type R.

Sistem e:HEV yang dinaiktaraf itu mampu menjana kuasa melebihi 300 hp, menjadikan prestasinya seiring dengan model Civic Type R.

Untuk makluman, sistem e:HEV Honda sedia ada tidak ditawarkan dengan transmisi manual.

Namun pada Prelude standard, ia dilengkapi dengan mod S+ Shift yang dikatakan mampu mengajuk penukaran gear menggunakan efek bunyi, modulasi tork dan paddle shifter.

Dalam model Type R, sistem penukaran gear bersimulasi ini boleh dipertingkatkan lagi untuk pengalaman pemanduan yang lebih seronok.

Selain itu, Prelude Type R juga dijangka akan menampilkan casis yang diperkukuh, suspensi lebih rendah, jarak trek roda yang lebih lebar, serta kit badan yang lebih sporti.

Setakat ini, berita tentang kehadiran Prelude Type R masih lagi di dalam peringkat spekulasi.

Sebuah lagi penerbitan Jepun Creative Trend yang telah berhubung dengan pengedar Honda di sana melaporkan tiada sebarang butiran terperinci berkenaan varian Prelude yang lebih berkuasa.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here