
Ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan bas terjejas, apabila kira-kira 100 pemandu melakukan mogok sejak jam 5 pagi tadi.
Ia menyebabkan ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang mengejar waktu bekerja di republik itu terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dan beberapa lokasi hentian bas utama untuk ke Singapura.
Pekerja restoran di Singapura, Munir Selamat, 34, berkata, dia terkejut apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke republik itu sesak sebaik tiba di BSI jam 6.30 pagi.
Katanya, selepas menunggu hampir setengah jam, dia serta pekerja Malaysia yang lain mengambil keputusan berjalan kaki dari BSI merentas Tambak Johor untuk ke Singapura yang berjarak kira-kira 1.05km.
“Saya dan yang lain terkejut serta terpinga-pinga apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke Singapura sangat panjang sebelum diberitahu pemandu bas mogok hari ini.
“Kami tiada pilihan selain berjalan masuk ke Singapura kerana tidak mahu terlewat memulakan kerja sehingga menjejaskan kami juga nanti,” katanya.
Sementara itu, pemandu bas ke Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35, mendakwa kira-kira 100 pemandu bas ke Singapura nekad mogok bermula jam 5 pagi.
Katanya, ia berikutan ketidakpuasan hati pemandu terhadap penyelarasan gaji baharu dibuat syarikat yang dilihat menganiaya mereka pemandu susulan berlaku pengurangan gaji dengan ketara.
“Penyelarasan gaji yang berkuatkuasa dua bulan lalu kami anggap melampau kerana ia menyebabkan pendapatan kami berkurangan ketara di saat kenaikan kos sara hidup.
“Contohnya sebelum ini pemandu bas Malaysia ke Singapura diberi gaji antara RM2,800 hingga RM2,900 sebulan, namun penyelaras dibuat menyebabkan kami hanya mendapat gaji tidak sampai RM2,000 sebulan.
“Ini tidak termasuk syarat wajib yang tidak adil ditetapkan iaitu penambahan perjalanan wajib daripada empat kepada lima yang menjejaskan tuntutan lebihan perjalanan selain pemotongan gaji yang tidak jelas,” katanya.
Difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengadakan pertemuan dengan syarikat serta pemandu bas bagi menyelesaikan isu mogok berkenaan.
Beberapa pemandu bas yang tidak berpuas hati juga dilaporkan sudah pulang manakala sebahagian kecil bersetuju untuk meneruskan perjalanan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Terdahulu tular di media sosial keluhan pekerja Malaysia di Singapura yang lewat memulakan kerja apabila pemandu bas ke Singapura mogok susulan isu gaji.
Barisan panjang didakwa bermula dari lorong pemeriksaan pasport di BSI di tingkat atas hingga ke platform bas menyebabkan ribuan terkandas.
Rakaman video pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki beramai-ramai di Tambak Johor turut tular.