
Persatuan Pembekal Automotif Itali (Anfia) menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan dengan mengenakan tarif sehingga 80 peratus ke atas kenderaan dan komponen buatan China yang melebihi kuota ambang tertentu demi menyelamatkan rantaian bekalan automotif Eropah daripada runtuh.
Presiden Anfia, Roberto Vavassori mencadangkan kenderaan import dari China ke EU hanya dibenarkan bebas tarif sehingga 8 peratus daripada jumlah pendaftaran tahunan Eropah. Sebarang import yang melebihi had ambang berkenaan wajar dikenakan duti 80 peratus.
Tegas beliau, langkah itu mesti merangkumi kedua-dua sektor kenderaan siap dan komponen alat ganti, memandangkan komponen merangkumi kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan nilai sesebuah kenderaan.
Desakan itu disuarakan berikutan keputusan gergasi automotif Jerman, Volkswagen yang meluluskan pelan penyusunan semula secara besar-besaran susulan penguncupan permintaan serta persaingan sengit daripada jenama elektrik China.
“Kami mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap apa yang telah dicapai oleh industri China, tetapi rasa hormat itu kini telah bertukar menjadi ketakutan. Eropah tidak boleh kehilangan industri yang sangat penting bagi autonomi strategik pasaran ini,” ujar Vavassori.
Data Persatuan Pengilang Automobil Eropah (ACEA) menunjukkan pegangan pasaran kereta buatan China yang dijual di EU telah melonjak melebihi 9 peratus pada separuh pertama tahun ini.
Ancaman Rantaian Bekalan & Impak Ke Atas Itali

Eksport komponen automotif Itali ke Jerman bernilai EUR 4.9 bilion (kira-kira RM25 bilion) pada tahun 2025, dengan Volkswagen menyumbang sehingga 20 peratus daripada jumlah berkenaan.
Beliau meramalkan eksport boleh merosot sekitar 10 peratus tahun ini selepas mencatatkan penurunan 4.6 peratus pada separuh pertama, berikutan penguncupan pengeluaran di Eropah.
Namun, beliau memberi amaran bahawa pelan penyusunan semula Volkswagen mungkin menjadi permulaan kepada rombakan industri yang lebih luas.
Vavassori memberi amaran bahawa jika gelombang import China terus membolosi pasaran tanpa kawalan ketat, kejatuhan eksport komponen Itali menjelang 2028 secara tidak langsung bakal menandakan pengakhiran kepada industri automotif tempatan.
Vavassori berkata eksport alat ganti Itali boleh merosot antara 40 hingga 50 peratus menjelang 2028 sekiranya tiada perlindungan daripada gelombang import China.
“EU ketika ini mengenakan duti tambahan ke atas kenderaan elektrik China di atas tarif import standard 10 peratus, menjadikan kadar tarif keseluruhan berada dalam lingkungan 18 hingga 45 peratus bergantung kepada pengeluar,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah yang mula diperkenalkan pada 2024 itu dijangka kekal dikuatkuasakan selama lima tahun.
Beliau turut mengkritik cadangan Akta Pemecut Industri oleh EU. Draf akta berkenaan didakwa tidak memperkasakan pengeluaran tempatan sebaliknya berisiko menggalakkan import komponen dari negara luar seperti Maghribi atau Turki yang mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan EU.
Selain itu, Vavassori turut mempertikaikan komitmen pengeluar gergasi China seperti BYD dan Chery yang kini mula membina kemudahan pengeluaran di Eropah.
“Kilang-kilang mereka di Eropah hanyalah kilang pemutar skru,” kata Vavassori sambil menegaskan syarikat China mempunyai minat yang sangat rendah untuk mendapatkan komponen daripada pembekal lokal Eropah, sebaliknya akan terus mengimport komponen dari China atau negara kos rendah berdekatan.
































